Ops Sky: Dua pegawai bank didakwa terima rasuah RM109,000

Iklan
Irfan Syafiq Hafizi dan Nurul Hidayatul Asyikin diiringi pegawai SPRM keluar dari mahkamah selepas selesai sebutan kes mereka di Mahkamah Sesyen pada Isnin.

KUANTAN – Dua kakitangan bank dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas pertuduhan rasuah melibatkan jumlah keseluruhan melebihi RM109,832 sebagai ‘upah’ untuk membantu proses permohonan pembiayaan peribadi pelanggan yang melebihi had kelayakan.

Tertuduh, Irfan Syafiq Hafizi Mohd Riduan, 30, dan Nurul Hidayatul Asyikin Zolkeple, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Szalina Safie.

Iklan
Iklan

Irfan Syafiq Hafizi yang bertugas sebagai pegawai pemasaran di sebuah cawangan bank di Damansara, Kuala Lumpur, berdepan 14 pertuduhan dengan nilai rasuah berjumlah RM99,030.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menerima wang secara rasuah berjumlah antara RM1,843 hingga RM22,400 melalui pindahan dalam talian daripada empat akaun bank berbeza ke dalam akaun bank miliknya.

Iklan

Wang itu diterima sebagai upah untuk membantu memproses permohonan pembiayaan pinjaman peribadi sebuah syarikat (pelanggan) secara serentak dengan permohonan pinjaman peribadi pelanggan lain di beberapa institusi kewangan yang lain.

Perbuatan itu dilakukan antara 6 Jun 2023 hingga 6 Disember 2024 di sebuah cawangan bank di Jalan Bukit Ubi, di sini, menyebabkan pelanggan tersebut memiliki beberapa pinjaman peribadi yang melebihi had kelayakan.

Iklan

Bagi kesalahan tersebut, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694], yang boleh dihukum di bawah subseksyen 24(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Tertuduh yang mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan atas semua pertuduhan, ditawarkan jaminan RM20,000 oleh pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ezuain Farhana Ahmad.

Bagaimanapun, tertuduh melalui peguamnya, Chua Yong Yi, memohon agar jumlah jaminan itu dikurangkan pada kadar paling minimum.

Mahkamah membenarkan permohonan tersebut dan mengurangkan jumlah jaminan kepada RM12,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh turut dikenakan syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah, melapor diri ke pejabat SPRM terdekat setiap bulan serta dilarang mengganggu saksi-saksi pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 9 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sementara itu, dalam prosiding berasingan di mahkamah sama, Nurul Hidayatul Asyikin yang bertugas sebagai Eksekutif Pembiayaan Pengguna di sebuah bank cawangan Bandar Baru Bangi, didakwa atas empat pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM10,802 antara 6 Jun hingga 9 September tahun lalu.

Tertuduh, yang juga seorang ibu tunggal, didakwa menerima antara RM760 hingga RM4,207 sebagai upah membantu memproses permohonan pembiayaan pinjaman peribadi pelanggan secara serentak dengan permohonan pinjaman peribadi pelanggan lain di beberapa institusi kewangan yang lain.

Bagi kesalahan tersebut, tertuduh turut didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694], yang boleh dihukum di bawah subseksyen 24(1) akta sama.

Tertuduh yang diwakili peguam, M Maran mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan. Mahkamah pada awalnya menawarkan jaminan RM10,000, namun jumlah itu dikurangkan kepada RM7,000 selepas rayuan dikemukakan.

Mahkamah menetapkan 12 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes