[DIKEMAS KINI] SEHARI dua ini Kuala Lumpur menjadi perhatian dunia kerana kehadiran beberapa pemimpin utama dunia khususnya Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
Ramai yang bercakap mengenai kehadiran Trump. Sedangkan, ASEAN lebih daripada itu. Persatuan negara-negara Asia Tenggara ini amat penting untuk kedamaian dan kemakmuran.
Semalam adalah detik bersejarah bukan sahaja kepada Malaysia sebagai tuan rumah, tetapi juga kepada rantau Asia Tenggara secara keseluruhan. Banyak perkara penting berlaku dalam tempoh kurang daripada 24 jam.
Kemasukan rasmi Timor-Leste sebagai anggota ke-11 ASEAN, termeterainya perjanjian perdagangan penting antara beberapa negara ASEAN dan Amerika Syarikat, strategi geopolitik serta isyarat kedamaian telah menjadikan sidang kali ini antara yang paling berimpak dalam sejarah blok serantau ini.
Kemasukan Timor-Leste isyarat keterbukaan ASEAN
Langkah menerima Timor-Leste sebagai anggota penuh merupakan mesej jelas bahawa ASEAN kekal terbuka, inklusif dan berdaya tahan.
Proses kemasukan negara ini telah mengambil masa hampir sedekad dan keanggotaan rasmi pada 2025 mencerminkan kesediaan ASEAN mengembangkan komuniti serantau demi kestabilan jangka panjang.
Bagi Malaysia sebagai pengerusi tahun ini, langkah tersebut memperkukuh peranannya sebagai jambatan dialog dan integrasi.
Timor-Leste bakal mendapat manfaat daripada pelbagai mekanisme kerjasama ASEAN, manakala negara anggota lain berpeluang memperluaskan hubungan perdagangan, pelaburan dan keselamatan di rantau yang strategik itu.
Secara simboliknya, langkah ini menghidupkan kembali semangat perpaduan serantau.
Dan itulah sebabnya, Perdana Menteri Timor Leste, Kay Rala Xanana Gusmão dan wakil media negara tersebut menitiskan air mata sebaik sahaja negara itu diumumkan secara rasmi sebagai anggota ASEAN. Persatuan ini adalah harapan untuk mereka membangun dan keluar dari kemiskinan.
Kesimpulannya, kemasukan Timor-Leste bukan sekadar penambahan ahli, tetapi satu langkah strategik memperkukuh kesatuan ASEAN dari segi geopolitik, ekonomi dan identiti.
Ia juga selari dengan visi jangka panjang ASEAN untuk menjadi komuniti yang inklusif, stabil dan berpengaruh di peringkat global menjelang 2045.
Trump dan perdagangan strategik
Kehadiran Trump mencuri tumpuan global. Beliau menegaskan komitmen “100 peratus” Amerika Syarikat terhadap Asia Tenggara dan mengumumkan beberapa perjanjian perdagangan baharu dengan Malaysia, Thailand, Vietnam dan Kemboja.
Dalam konteks Malaysia, perjanjian tersebut melibatkan akses pasaran yang lebih luas ke AS, termasuk pengecualian tarif bagi barangan tertentu seperti kelapa sawit, koko, getah, produk farmaseutikal dan aeroangkasa.
Satu aspek penting ialah komitmen Malaysia terhadap bekalan mineral kritikal kepada AS. Ini menandakan kedudukan Malaysia sebagai sebahagian daripada rantaian bekalan strategik global — sesuatu yang akan membuka peluang pelaburan teknologi baharu tetapi pada masa sama memerlukan dasar perlindungan sumber yang berhati-hati.
Isyarat perdamaian serantau
Di sela-sela sidang utama, satu deklarasi perdamaian antara Thailand dan Kemboja turut dimeterai. Perjanjian itu disaksikan oleh Trump serta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengukuhkan imej ASEAN sebagai platform diplomasi serantau yang relevan.
Walaupun simbolik, ia memberi petunjuk bahawa ASEAN boleh memainkan peranan lebih aktif dalam menyelesaikan pertikaian intra-rantau secara aman.
Namun, cabaran sebenar terletak pada pelaksanaan. Pengalaman lalu menunjukkan banyak perjanjian keamanan tergendala kerana kurangnya mekanisme pengawasan dan kepercayaan politik antara pihak bertikai.
Antara peluang dan tekanan geopolitik
Sidang kemuncak kali ini juga memperlihatkan bagaimana ASEAN kini menjadi gelanggang strategik dalam persaingan kuasa besar antara AS dan China.
Dengan AS melipatgandakan komitmen perdagangan dan keselamatan, ASEAN perlu mengekalkan dasar berkecuali serta mengimbangi hubungan dengan kedua-dua pihak.
Bagi Malaysia, ini adalah peluang untuk mengukuhkan imej sebagai hab diplomasi dan pusat perdagangan serantau. Namun ia juga menguji keupayaan negara untuk mengekalkan autonomi strategik — memastikan hubungan dengan China tidak terjejas sambil memanfaatkan peluang ekonomi dengan AS.
Dalam masa yang sama ramai yang tidak sedar, kehadiran Ketua Negara dua anggota BRICS iaitu Brazil dan Afrika Selatan, Luiz Inácio Lula da Silva dan Cyril Ramaphosa menghadiri sidang kemuncak kali ini amat signifikan. Difahamkan buat kali pertama sebagai jemputan khas.
Namun kedua-dua negara ini bukan sahabat baharu ASEAN kerana mereka telah menandatangani Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC), Brazil pada tahun 2012 manakala Afrika Selatan lima tahun lalu.
Kedua-dua negara ini amat penting bagi ASEAN untuk memperluskan jaringan ke Global South sebagai sebahagian pelan jangka panjang ASEAN Community Vision 2045.
Brazil dan Afrika Selatan merupakan dua ekonomi terbesar di Hemisfera Selatan, masing-masing dari Amerika Latin dan Afrika.
Malah Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN menggunakan peluang ini untuk membina rangkaian kuasa tengah (middle powers) — bukan hanya dengan AS, China, Jepun, EU — tetapi juga BRICS.
Langkah ini amat tepat dalam dunia multipolar hari ini kerana semua sedar kuasa sebagai ‘penguasa’ dunia mula merosot tetapi tidak ada satu kuasa besar yang mampu menggantikannya.
Semalam juga, Finland secara rasmi menyertai TAC, menandakan langkah penting negara Eropah Utara itu dalam memperkukuh hubungan diplomatik dan kerjasama dengan ASEAN.
Bagi Menteri Luar, Datuk Seri Utama Mohamad Hasan kehadiran Finland dalam keluarga ASEAN adalah sebagai simbol komitmen terhadap keamanan, dialog dan kerjasama serantau.
Momentum yang perlu dimanfaatkan
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 mencerminkan tiga arus besar yang sedang membentuk rantau ini: perluasan keanggotaan, pertembungan pengaruh kuasa besar, dan kebangkitan peranan ASEAN sebagai pelaku diplomasi aktif.
Malaysia, sebagai tuan rumah dan pengerusi, berjaya memanfaatkan sidang ini untuk memperkukuh kedudukannya sebagai jambatan strategik serantau.
Namun, peluang ini datang bersama tanggungjawab berat. Dasar luar perlu cekap dan seimbang, pelaksanaan perjanjian perdagangan mesti telus dan lestari, dan manfaatnya harus sampai ke peringkat akar umbi rakyat.
Jika dimanfaatkan secara strategik, sidang kemuncak ini boleh menjadi pemangkin kepada era baharu pengaruh Malaysia dan ASEAN dalam percaturan global.
*Azran Fitri Rahim pernah bertugas sebagai wartawan, setiausaha akhbar kepada menteri serta pegawai khas media dan komunikasi strategik kepada Perdan Menteri.