SUBANG JAYA – Anugerah Akademik Negara (AAN) terus menjadi pengiktirafan tertinggi negara kepada ahli akademik yang menyumbang besar terhadap kemajuan pendidikan dan penyelidikan di dalam serta luar negara.
Sejak diperkenalkan pada 2006 oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), AAN menjadi simbol keunggulan akademia yang memartabatkan ilmu, memperkukuh budaya penyelidikan dan memperkasa peranan institusi pendidikan tinggi sebagai pemangkin pembangunan negara.
Majlis penganugerahan AAN Ke-16 disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, di sebuah hotel di Subang Jaya, Selangor.
Pakar arkeologi terkemuka negara, Profesor Emerita Datin Paduka Dr Siti Zuraina Abdul Majid dari Universiti Sains Malaysia (USM) dinobatkan sebagai Tokoh Akademik Negara AAN Ke-16, mengiktiraf sumbangan beliau selama hampir lima dekad dalam bidang arkeologi dan warisan dunia.
Penemuan penting beliau, termasuk rangka Perak Man serta penyelidikan di Lembah Lenggong, telah merevolusikan pemahaman terhadap sejarah prasejarah Malaysia dan membawa pengiktirafan UNESCO terhadap tapak berkenaan sebagai Tapak Warisan Dunia pada tahun 2012.
“Saya tidak pernah menyangka akan menerima pengiktirafan ini kerana sepanjang karier saya hanya fokus kepada kerja dan penyelidikan. Ia benar-benar satu penghormatan,” ujarnya yang turut menzahirkan penghargaan kepada USM, kerajaan serta kumpulan penyelidiknya atas sokongan tidak berbelah bahagi.
Profesor Siti Zuraina menerima trofi, sijil dan wang tunai berjumlah RM200,000 sebagai penghargaan terhadap sumbangan luar biasa beliau kepada pembangunan ilmu dan negara.
Sebanyak tujuh kategori utama dengan 15 anugerah dipertandingkan tahun ini, namun hanya sembilan penerima menepati kriteria ketat yang ditetapkan oleh jawatankuasa pemilihan khas terdiri daripada pakar akademik dan industri.
Antara penerima utama ialah Dr Manraj Singh Cheema dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr Haslinda Ibrahim dari Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Dr Rahimah Jamaluddin dari UPM bagi kategori Anugerah Pengajaran.
Kategori Anugerah Seni dan Kreativiti pula dimenangi oleh Ts Dr Mohamad Fitri Mohamad Haris dari UUM, manakala Anugerah Penerbitan Makalah Jurnal disandang Profesor Madya Dr Gan Wee Chen dari Universiti Xiamen Malaysia bagi bidang sains dan Profesor Madya Dr See Kok Fong dari USM bagi bidang sains sosial dan sastera.
Sementara itu, Anugerah Penerbitan Buku diberikan kepada Profesor Madya Dr. Norhayati Mohd Noor dari USM, dan Anugerah Inovasi serta Pengkomersialan Produk dimenangi oleh Profesor Madya Dr Muhammad Firdaus Akbar Jalaludin Khan, juga dari USM.
Antara penerima yang mencuri perhatian ialah Dr Gan Wee Chen yang mengetuai penyelidikan menghasilkan pelitup muka berteknologi tinggi yang mampu membunuh virus serta-merta menggunakan medan elektrik mikro dijana daripada tenaga pernafasan manusia.
Beliau berkata, inspirasi projek tersebut datang ketika pandemik Covid-19 dan berbeza dengan pelitup muka konvensional, inovasi itu berupaya memusnahkan mikrob dalam tempoh singkat dengan kecekapan 99 peratus.
“Kami kini berusaha mengkomersialkan prototaip ini dengan sokongan agensi pembiayaan serta industri,” ujarnya.
Bagi penerima Anugerah Seni dan Kreativiti, Ts Dr Mohamad Fitri Mohamad Haris menyifatkan pengiktirafan yang diterima sebagai penghargaan terhadap usaha menggabungkan dunia akademik dan industri muzik nasyid.
“Sebagai pensyarah muda, saya bersyukur menerima pengiktirafan ini kerana persaingan melibatkan semua IPTA dan IPTS di Malaysia. Saya sudah lebih 12 tahun dalam bidang akademik dan 23 tahun dalam industri muzik nasyid,” ujarnya.
Beliau turut memperkenalkan konsep hiburan halal atau muzik Islamik popular di peringkat antarabangsa termasuk di United Kingdom dalam usaha memperkenalkan nilai murni Islam kepada masyarakat bukan Islam melalui pendekatan etnomuzikologi.
Sementara itu, penerima Anugerah Inovasi dan Pengkomersialan Produk, Profesor Madya Dr Muhammad Firdaus Akbar Jalaludin Khan pula berkata, pengiktirafan tersebut menjadi motivasi kepada penyelidik muda untuk terus menghasilkan inovasi yang memberi impak kepada industri.
Beliau berkata, kejayaan itu hasil sokongan berterusan ekosistem inovasi dan pengkomersialan yang kukuh di USM.
“Saya amat berterima kasih kepada pihak pengurusan tertinggi USM yang sentiasa menyokong usaha penyelidik untuk menghasilkan inovasi berimpak kepada industri dan masyarakat.
“Hari ini, kita berjaya mengkomersialkan hasil penyelidikan dan harta intelek universiti dan menyediakan perkhidmatan kepada syarikat-syarikat tempatan,” katanya.
Menurut beliau, inovasi tersebut melibatkan digital production management system (VL DPM) yang berfungsi menukar operasi pengeluaran di kilang kepada bentuk digital, merangkumi proses daripada bahan mentah hingga produk siap untuk pelanggan.
“Kini, lebih 15 syarikat termasuk dalam sektor plastik, farmaseutikal dan besi menggunakan teknologi ini. Melalui projek ini juga, kami dapat mewujudkan peluang pekerjaan kepada graduan-graduan tempatan.
“Pada awalnya memang sukar, tetapi selepas kami mulakan dengan skala kecil dan mendapat testimoni baik daripada syarikat pengguna, barulah kami dapat menembusi pasaran lebih besar,” katanya.
Terdahulu dalam ucapan Menteri Pendidikan Tinggi, beliau menegaskan ahli akademik memainkan peranan penting dalam membentuk pemikiran bangsa dan tamadun sesebuah negara.
“Negara tidak akan menjadi seperti hari ini tanpa sumbangan para sarjana. Mereka bukan sahaja menghasilkan ilmu, tetapi turut membina peradaban,” ujarnya.
Zambry turut menyeru agar sistem pendidikan tinggi melakukan anjakan besar dalam tempoh 10 tahun akan datang, khususnya dari segi pendekatan pengajaran, kurikulum dan penyelidikan supaya kekal relevan dengan perubahan dunia semasa.
“Universiti bukan sekadar makmal ilmu, tetapi tempat membentuk insan dan nilai kemanusiaan,” ujarnya sambil menzahirkan penghargaan kepada semua penerima anugerah atas sumbangan besar mereka terhadap pembangunan ilmu dan negara.
Hadir sama pada majlis itu ialah Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr Anesee Ibrahim, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof Dr Azlinda Azman serta Naib Canselor universiti awam dan ketua agensi di bawah KPT.
Sejak tahun 2006, lebih 150 ahli akademik telah menerima pengiktirafan AAN dalam pelbagai bidang termasuk penyelidikan, pengajaran, inovasi dan penerbitan ilmiah.
Penganugerahan ini bukan sahaja mengiktiraf kecemerlangan individu, malah memperkukuh budaya ilmu, penyelidikan dan inovasi dalam sistem pendidikan tinggi negara.
Dengan legasi dan inspirasi para penerimanya, AAN kekal sebagai tonggak kecemerlangan akademik nasional yang terus menjulang keunggulan ilmu serta membina generasi ilmuwan untuk masa depan Malaysia.