KUALA LUMPUR – Presiden Korea Selatan, Lee Jae-myung menggesa ASEAN dan Korea Selatan memperkukuh kerjasama keselamatan bagi mengekang peningkatan kegiatan jenayah rentas sempadan yang semakin berleluasa di rantau ini.
Menurutnya, kawasan sempadan kini menjadi tumpuan sindiket jenayah terancang termasuk pusat penipuan dalam talian yang sukar dikesan oleh pihak berkuasa.
"Kebelakangan ini, pusat jenayah seperti sindiket penipuan semakin berleluasa di kawasan sempadan yang sering menjadi titik buta kepada penguatkuasaan undang-undang.
"Malangnya, ramai anak muda telah menjadi mangsa jenayah rentas negara," katanya ketika berucap pada Sidang Kemuncak ASEAN–Republik Korea (ROK) ke-26 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), pada Isnin.
Dalam pada itu Jae-myung turut menegaskan komitmen Seoul untuk terus memperkukuh kerjasama dalam bidang penguatkuasaan undang-undang dan kehakiman bersama negara anggota ASEAN.
Sebagai respons menurutnya, Agensi Polis Kebangsaan Korea Selatan telah bekerjasama rapat dengan ASEAN bagi membanteras pusat jenayah terancang bagi memastikan jenayah rentas sempadan tidak mempunyai tempat di rantau ini.
Korea Selatan juga katanya, berhasrat memperluas kerjasama dalam bidang keselamatan dan jenayah tradisional dengan setiap negara anggota ASEAN bagi menangani isu berkenaan secara menyeluruh.
Selain isu keselamatan, beliau turut membentangkan tiga visi utama dasar ASEAN–ROK menjelang tahun 2029 bagi memastikan Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) memberi manfaat nyata kepada rakyat kedua-dua rantau.
Tiga visi tersebut merangkumi peranan Korea sebagai penyumbang kepada komuniti ASEAN yang berpusatkan rakyat, pemangkin inovasi ekonomi dengan sasaran perdagangan AS$300 bilion setahun serta rakan utama dalam menjamin keamanan dan kestabilan serantau.