KUANTAN – “Sampai sekarang saya tidak berani jawab panggilan pelik-pelik dan bila telefon berbunyi, saya akan rasa cemas.”
Demikian kata Ahmad Albab (bukan nama sebenar), 40, yang masih trauma selepas menjadi mangsa scammer melalui panggilan telefon hingga kerugian ratusan ringgit.
Dia yang bekerja sendiri memberitahu, kejadian itu berlaku pada awal tahun ini apabila menerima panggilan daripada seorang lelaki yang mendakwa wakil telco dan menawarkan rebat langganan istimewa.
“Lelaki tersebut bercakap dengan nada meyakinkan dan menyebut semua maklumat tentang akaun dengan tepat serta memberitahu akan memproses rebat untuk saya.
“Tapi saya diminta sahkan maklumat melalui pautan yang dihantar ke telefon dan saya pun ikut sahaja permintaannya,” katanya ketika ditemui di sini pada Ahad.
Ahmad Albab berkata, selepas menekan pautan berkenaan, telefonnya tiba-tiba terpadam dan tidak lama kemudian dia menerima mesej transaksi keluar dari akaun bank miliknya.
Dia mengakui terkejut apabila melihat ratusan ringgit hilang daripada akaun miliknya dan gagal menghubungi semula nombor tersebut.
“Waktu itu baru saya sedar sudah kena tipu. Walaupun jumlah itu mungkin kecil bagi orang lain, tapi itu hasil titik peluh yang dikumpul sedikit demi sedikit untuk menampung perbelanjaan harian.
“Bila fikir balik, saya marah dengan diri sendiri sebab terlalu percaya. Tapi pada masa itu suara dia sangat meyakinkan, jadi saya tak terfikir langsung itu helah scammer,” luahnya.
Ahmad Albab memaklumkan, kini beliau lebih berhati-hati dan tidak lagi mempercayai sebarang panggilan atau mesej daripada nombor tidak dikenali.
“Kalau ada mesej atau panggilan pelik, saya biar sahaja kerana perasaan trauma itu masih ada,” katanya.
Sehubungan itu, Ahmad Albab berharap Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dapat meningkatkan keupayaan dan mempercepat usaha menyekat nombor serta pautan mencurigakan yang digunakan sindiket penipuan.
Katanya, walaupun pelbagai kempen kesedaran dijalankan, tindakan menyekat panggilan atau mesej palsu masih dianggap lambat dan kurang berkesan.
“Macam pihak bank, sudah banyak ‘naik taraf’ sistem keselamatan mereka, MCMC juga mungkin perlu ambil tindakan tegas terhadap telco.
“Scammer dilihat sentiasa berada beberapa langkah di hadapan dan sepatutnya MCMC lebih ke depan dalam bertindak sebelum lebih ramai jadi mangsa,” katanya.