Pindaan perjanjian perdagangan ASEAN tekad perkasa ekonomi rantau - Mohamad Hasan

Iklan
Mohamad Hasan (depan, tiga dari kanan) ketika dalam Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang berlangsung pada Ahad. Sumber foto daripada Facebook Mohamad Hasan pada Ahad.

SHAH ALAM - Penyerahan Protokol Kedua bagi Pindaan Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) memperlihatkan tekad bersama negara anggota ASEAN dalam memperkasa keterhubungan, ketahanan dan daya saing ekonomi rantau.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pindaan yang berlangsung semasa Sesi Pleno Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada Ahad itu turut dilihat berpotensi dalam memperkukuhkan perdagangan intra-ASEAN.

Iklan
Iklan

“Telah berlangsung dengan jayanya penyerahan Penyerahan Protokol Kedua bagi ATIGA semasa Sesi Pleno Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 sebentar tadi.

“Langkah ini mencerminkan komitmen berterusan ASEAN dalam memperkukuh integrasi ekonomi serantau ketika dunia berdepan cabaran geopolitik yang kompleks dan landskap geoekonomi yang semakin berpecah.

Iklan

“Pindaan ini bukan sahaja memperkukuh perdagangan intra-ASEAN, malah memperlihatkan tekad bersama negara anggota untuk memperkasa keterhubungan, ketahanan serta daya saing ekonomi rantau ini,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Ahad.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan akan menjadi antara perhimpunan terbesar dalam sejarah blok itu dan berfungsi sebagai platform penting untuk memperteguh kerjasama serta menangani cabaran serantau dan global secara menyeluruh.

Iklan

Para pemimpin juga akan menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN+3 (APT), Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) serta siri libat urus ASEAN+1 bersama rakan utama termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 akan berakhir pada 28 Oktober dengan majlis penutup dan penyerahan kepengerusian ASEAN kepada Filipina, menandakan kemuncak tahun bersejarah bagi Malaysia dalam memperkukuh kerjasama, perpaduan dan kemampanan blok Asia Tenggara itu.