SHAH ALAM - Penyediaan vaksin influenza A secara percuma kepada pelajar disambut baik orang ramai khususnya kalangan berpendapatan rendah ekoran kos rawatan dan harga ubatnya mahal.
Kakitangan swasta Muhamad Shukri Saharuddin, 45, menyifatkan langkah kerajaan Selangor itu tepat pada masanya susulan penularan jangkitan itu kian membimbangkan.
“Pengumuman mengejutkan tetapi ia sangat melegakan, lebih-lebih lagi bagi kami yang ada anak bersekolah. Dengan ini, dapatlah meringankan beban ibu bapa,” katanya kepada Media Selangor.
Bapa kepada dua anak bersekolah, Rozaini Zulkifli, 48, pula berpendapat usaha itu cerminan keprihatinan kerajaan negeri terhadap isu kesihatan awam terutama kalangan pelajar.
“Ini satu inisiatif yang amat bagus. Saya harap ramai ambil peluang ini dan pada masa sama mungkin jumlah penerima boleh ditambah lagi,” katanya.
Ahli perniagaan Dr R Verrapan mengagumi kesungguhan kerajaan Selangor yang sentiasa terkedepan dalam memberi dos vaksin percuma kepada rakyat termasuk pelajar.
"Saya harap ibu bapa ambil peluang ini untuk bawa anak dapatkan vaksin kerana mereka terdedah dengan ramai kontak di sekolah, dengan vaksin mungkin risiko dijangkiti rendah," katanya.
Pada 18 Oktober, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, dana RM1 juta bagi membiayai pemberian vaksin percuma itu kepada 12,500 pelajar di daerah berisiko tinggi iaitu Hulu Langat, Gombak, Klang dan Petaling.
Program yang diketuai EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin akan bermula pada akhir Oktober sebagai langkah segera mengekang penularan penyakit di institusi pendidikan.
Pada 16 Oktober, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kira-kira 83 peratus wabak influenza di seluruh negara dikesan berlaku di sekolah dan tadika.
Sebanyak 65.8 peratus jangkitan berlaku di sekolah, tadika (17 peratus) manakala selebihnya di kolej, tempat kerja dan institusi lain.'
Seorang murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Kebangsaan Meru, Klang berusia lapan tahun meninggal dunia dipercayai akibat jangkitan influenza A awal pagi 17 Oktober.
Pakar Virologi Molekul Universiti Monash, Profesor Madya Dr Vinod Balasubramaniam pula berkata, kanak-kanak menjadi penyebar paling efisien kerana sistem imun mereka masih lemah.
Menasihati orang ramai supaya memakai pelitup muka di kawasan sesak, beliau memberitahu virus influenza A sub jenis H3N2 dominan di beberapa negara di Asia, lapor New Straits Times.