Setiap pekerja wajar sertai program integriti berterusan – GB4B Pulau Pinang

Iklan
Mohamad Nazri Abdul Latiff

SHAH ALAM - Setiap individu yang bekerja di negara ini perlu diwajibkan mengikuti program pemantapan integriti yang dijalankan secara berterusan bagi memastikan tiada penyalahgunaan kuasa dalam pelaksanaan tugas.

Pengerusi Gerakan Belia 4B(M) Pulau Pinang (GB4B), Mohamad Nazri Abdul Latiff berkata, perkara itu perlu dilaksanakan dalam usaha meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti seseorang individu daripada terlibat jenayah rasuah.

Iklan
Iklan

Menurutnya, program pemantapan integriti berkenaan wajar melibatkan latihan dan kursus yang memberi penekanan kepada etika kerja, tanggungjawab sosial dan peranan penjawat awam dalam menjaga kepentingan rakyat.

"Selain itu, satu mekanisme pemantauan yang lebih ketat juga perlu dilaksanakan untuk memastikan setiap individu mematuhi standard integriti yang telah ditetapkan.

Iklan

"Pemantauan berterusan adalah langkah penting dalam mengelakkan sebarang penyalahgunaan kuasa. Majikan wajib komited untuk membentuk pekerjanya yang lebih cekap, telus dan bebas daripada rasuah," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Sebelum ini, dua pegawai bank dan seorang bekas eksekutif mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam terhadap 43 pertuduhan menerima rasuah hampir RM450,000 bagi meluluskan pinjaman peribadi melebihi kelayakan pemohon.

Iklan

Kamarulzaman Zainudin, Hafiz Farhan Nor Izam dan Najmi Muaz Pekan membuat pengakuan itu selepas tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.

Tambah Mohamad Nazri, usaha mencegah dan melawan rasuah juga seharusnya bermula dari rumah seterusnya disebarkan ke seluruh masyarakat agar landskap ekonomi negara menjadi lebih mapan demi kelangsungan generasi akan datang.

Ujarnya, tiada mustahil jenayah rasuah dapat dibanteras dengan adanya kerjasama daripada semua pihak.

Menurutnya, rakyat Malaysia perlu ada rasa tanggungjawab terhadap bangsa dan negara.

"Maka dengan ini kita semua harus memasang niat untuk sama-sama berganding bahu dalam memastikan negara berada di landasan yang betul.

"Gejala rasuah yang semakin parah haruslah diubati dengan mencari penawarnya. Tentulah bermula dari rumah dan menyelinap seluruh aspek kehidupan kita," katanya.