Trump tinggalkan pekarangan KLCC

Iklan
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, dan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan), berkongsi detik gembira apabila mereka berjabat tangan semasa majlis menandatangani perjanjian damai Kemboja-Thailand pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Ahad. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump meninggalkan pekarangan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) sekitar jam 4.42 petang selepas menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada Ahad.

Kelibat Trump bagaimanapun gagal dikesan orang ramai termasuk pengamal media yang menunggu sejak pagi di dalam bangunan KLCC bagi mendapatkan respons berhubung kehadirannya ke sidang berkenaan.

Iklan
Iklan

Menurut sumber, Trump didakwa menggunakan ‘laluan tikus’ di dalam KLCC dan tidak sesaat pun memunculkan diri di hadapan kamera wartawan melainkan siaran langsung penyiar rasmi atas faktor keselamatan.

Dakwanya lagi, kesemua anggota bertugas tidak tahu-menahu tentang keberadaan Trump kecuali delegasi, pasukan pengamal media dan anggota keselamatan khas yang dibawa dari AS.

Iklan

Trump bahkan tidak melalui pintu utama yang disediakan mahupun menggunakan laluan karpet merah setibanya beliau di KLCC.

“Trump difahamkan sudah tiada dalam bangunan ini (KLCC), ada juga yang kata masih ada tetapi guna ‘laluan tikus’.

Iklan

“Atas faktor keselamatan, beliau menggunakan laluan yang tidak dapat dilihat orang ramai dan berkemungkinan bergerak pulang ke hotel penginapan (enggan mendedahkan lokasi),” katanya kepada Sinar Harian.

Ini merupakan kunjungan sulung Trump ke Malaysia dan rantau Asia Tenggara selepas memegang jawatan sebagai Presiden AS buat kali kedua pada Januari lalu.

Trump, 79, mengenakan kot berwarna biru gelap dengan tali leher merah dilihat memasuki pekarangan pusat konvensyen bersama delegasi AS yang lain.

Beliau menaiki kenderaan perisai miliknya iaitu ‘The Beast’ bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.

Kali terakhir kereta tersebut berada di Malaysia sekitar 10 tahun lalu ketika Barack Obama mengadakan lawatan rasmi semasa menjawat jawatan Presiden AS.

Pesawat Boeing 747 VC-25A ‘Air Force One’ yang turut digelar ‘The Flying White House’ dinaiki Trump selamat mendarat di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 9.54 pagi tadi.

Pemimpin dunia tersebut berada di negara ini selama dua hari iaitu 26 dan 27 Oktober atas jemputan Perdana Menteri selaku Pengerusi ASEAN 2025 selepas dipersetujui semua negara anggota.

Selain Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, lawatan rasmi Trump juga bersempena Sidang Kemuncak ASEAN-AS ke-13 dan Sidang Kemuncak Asia Timur ke-20.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan berlangsung dari 26 hingga 28 Oktober ini di bawah Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 yang bertemakan ‘Keterangkuman dan Kemampanan’.

Ia menjadi antara perhimpunan terbesar dalam sejarah blok itu yang berperanan sebagai platform penting untuk memupuk kerjasama lebih mendalam bagi menangani cabaran serantau dan global secara bersepadu serta inklusif.

Lebih 30 ketua negara dan kerajaan termasuk pemimpin ASEAN dan rakan dialog utama seperti AS, China, Jepun, Korea Selatan, Australia, New Zealand dan Kanada hadir ke sidang berkenaan.

Ini merupakan kali kelima Malaysia memegang jawatan Pengerusi ASEAN sejak 1967, selepas menyandangnya pada 2015, 2005, 1997 dan 1977.