KUALA LUMPUR - Kira-kira 30 delegasi wakil Pejabat Perdana Menteri termasuk pemberita dari Timor-Leste tidak dapat menahan sebak sebaik negara tersebut secara rasmi menjadi anggota ASEAN ke-11.
Wakil pemberita dari agensi media SMNews Timor-Leste, Remizia Boavida berkata, momen indah itu cukup bermakna buat dirinya sebagai salah seorang yang membuat liputan penuh Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
“Negara kami kini menjadi sebahagian daripada anggota ASEAN. Perasaan yang amat bangga dan kami menghargainya.
“Terima kasih tidak terhingga kepada Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 dan anggotanya juga,” katanya ringkas.
Remizia berkata demikian ketika ditemu bual pemberita di Pusat Media Antarabangsa (IMC) bertempat di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada Ahad.
Sekumpulan wakil pemberita yang mewakili negara berkenaan bersorak kegirangan sebaik melihat momen bersejarah itu.
Detik bersejarah tercipta hari ini apabila Timor-Leste diterima sebagai anggota ke-11 ASEAN selepas menyerahkan Instrumen Penyertaan kepada Piagam ASEAN dan Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ).
Perdana Menteri Timor-Leste, Kay Rala Xanana Gusmao juga sempat memberikan ucapan sebaik negara berkenaan menyertai ASEAN.
Selepas merdeka pada 2002, Timor-Leste menyatakan hasrat untuk menjadi anggota ASEAN sebagai sebahagian daripada integrasi rantau dan secara rasminya negara itu memohon menyertai keanggotaan ASEAN pada 2011.
Proses keanggotaan itu memerlukan waktu yang cukup lama berikutan beberapa alasan termasuk Kesediaan Ekonomi, Kapasiti Institusi dan Konsensus Ahli (keputusan untuk menerima ahli baharu ke dalam ASEAN perlu dicapai secara konsensus oleh semua negara anggota sedia ada).
Semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-40 dan ke-41 di Phnom Penh, Kemboja, pada November 2022, pemimpin ASEAN pada dasarnya bersetuju untuk menerima Timor-Leste sebagai ahli ke-11 ASEAN.
Persetujuan itu juga memberikan status pemerhati kepada Timor-Leste dan menggariskan pelan tindakan untuk keahlian penuh, termasuk sokongan kapasiti.