SKUAD Johor Darul Ta'zim (JDT), terus mengukuhkan kedudukan di puncak Liga Super apabila 'berpesta' menewaskan DPMM FC 10-0, di Stadium Sultan Ibrahim, pada Sabtu.
Seawal minit ke-7, JDT hampir membuka jaringan namun percubaan Bergson Da Silva berjaya ditangkap kemas penjaga gol, Muhammad Haimie Abdullah Nyaring.
Bagaimanapun, Bergson menebus kehampaan tersebut apabila menanduk masuk hantaran Arif Aiman Mohd Hanapi pada minit ke-9 bagi menggamatkan Stadium Sultan Ibrahim.
Tersentak dengan gol tersebut, kesebelasan DPPM FC dilihat mula bangkit mengatur asakan ke gawang tuan rumah dalam usaha menyamakan kedudukan, namun asakan-asakan berkenaan gagal menepati sasaran selain berjaya dikekang benteng pertahanan lawan.
DPMM FC beraksi dengan 10 pemain apabila pemain pertahanannya Muhammad Syafiq Saifuddin Abd Sharif dilayangkan kad kuning kedua gara-gara mengasari Oscar Arribas dalam kotak penalti.
Kesempatan itu dimanfaatkan Bergson Da Silva bagi menjaringkan gol kedua JDT dengan menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-34.
Bergson melengkapkan hattrik pada minit ke-36 apabila berjaya melepasi kawalan benteng pertahanan sebelum mudah menewaskan Muhammad Haimie untuk gol ketiga JDT.
Penghujung babak pertama menyaksikan giliran Oscar Arribas untuk meledak gol keempat untuk skuad Harimau Selatan itu selesa menuju bilik persalinan.
JDT semakin menggandakan asakan pada babak kedua dan menyaksikan pemain gantian Manuel Hidalgo, melepasi kawalan pertahanan sebelum merembat menewaskan Mohd Haimie pada minit ke-56.
JDT terus menambah jaringan keenam pada minit ke-63, apabila pemain pertahanan DPMM FC, Yura Indera Putera Yunos menjaringkan gol sendiri.
Skuad Harimau Selatan terus menambah jaringan hasil jaringan Arif Aiman pada minit ke-68.
JDT semakin hebat mengasak ke pintu gol pelawat dan Bergson sekali lagi membuktikan kewibawaannya apabila menjaringkan gol keempat peribadinya yang juga gol ke lapan pada minit ke-73.
Pemain gantian Jairo Da Silva kemudiannya meledak gol ke sembilan pada minit ke-81 bagi menyaksikan JDT terus selesa memimpin perlawanan.
Biarpun selesa di depan, namun JDT terus mengasak hebat ke gawang pelawat dan Romel Morales mudah menanduk masuk gol ke-10 pada minit ke-88 dan sekali gus mengesahkan kemenangan penuh bergaya skuad Harimau Selatan itu.