Pergiat usaha bawa silat ke Olimpik - Ahmad Zahid

Iklan
Zahid (tengah) ketika penyampaian juara keseluruhan Festival Silat Seni Asli Kebangsaan dimenangi Selangor pada Sabtu.

SEREMBAN - Persekutuan Silat Kebangsaan (Pesaka) serta persatuan-persatuan silat di seluruh dunia digesa mempergiatkan usaha mempromosikan seni mempertahankan diri itu untuk disenaraikan sebagai salah satu acara sukan Olimpik pada masa hadapan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, hasrat tersebut mampu direalisasikan dengan kerjasama erat antara kepimpinan Pesaka dan Persekutuan Silat Antarabangsa dinaungi Presiden Indonesia, Prabowo Subianto.

Iklan
Iklan

“Saya yakin beliau bersama Presiden Pesaka, Datuk Megat Zulkarnain Omardin serta presiden-persatuan silat di semua benua yang mewakili 91 negara boleh membawa perkara ini ke peringkat Majlis Olimpik Dunia.

“Jika persatuan-persatuan silat dapat ditubuhkan di tiga perempat negara di dunia, saya yakin suatu hari nanti silat akan disenaraikan sebagai acara rasmi dalam sukan Olimpik,” katanya ketika berucap pada Himpunan Silat Negara 2025 di Arena Nilai di sini pada Sabtu.

Iklan

Beliau berkata, setakat ini Malaysia mempunyai sebanyak 414 persatuan atau perguruan silat di seluruh negara dan angka itu menunjukkan potensi besar untuk memperkukuhkan kedudukan silat di peringkat antarabangsa.

Ahmad Zahid turut menyerahkan tanggungjawab kepada Pesaka dan Persekutuan Silat Antarabangsa untuk menerajui inisiatif tersebut.

Iklan

Beliau yakin usaha itu mampu dicapai sekiranya semua pihak memainkan peranan aktif dalam memperkenalkan silat di peringkat global.

“Kita tahu bahawa taekwondo dahulu bermula di Korea ke peringkat serantau sebelum diiktiraf sebagai salah satu acara rasmi dalam Sukan Olimpik.

“Kita mesti berazam untuk melakukannya, dan saya yakin ia boleh dicapai sekali gus pertahankan silat sebagai warisan budaya kita,” katanya.

Sementara itu, Megat Zulkarnain berkata, silat telah diperkenalkan sebagai salah satu acara sukan melalui demonstrasi yang diadakan dalam Majlis Olimpik dan ia mendapat reaksi positif.

“Bukan mudah untuk silat dimasukkan sebagai acara demonstrasi, dan mungkin kita tidak sempat disenaraikan pada Olimpik 2028, namun kita boleh melobi untuk Olimpik 2032.

“Kita telah memenuhi syarat bahawa semua sukan yang ingin disenaraikan dalam Olimpik mesti diwakili setiap benua.

“Kini, kita sudah berada di kelima-lima benua dan setiap benua mempunyai federasi masing-masing seperti Federasi Silat Asia Tenggara, Eropah, Afrika dan Amerika Tengah.

“Kita sudah cukup lengkap, kini bergantung kepada sejauh mana usaha kita melobi untuk memasukkan silat dalam Olimpik,” katanya.