TANGKAK -"Darwish melambai-lambai ke arah saya di depan kolej tempat Allahyarham belajar pada sebelah pagi. Tidak sangka ia jadi kenangan terakhir bersamanya sebelum Darwish maut dalam kemalangan pada sebelah malamnya."
Demikian luah Kamarul Hafiz Jaafar, 51, bapa kepada Muhammad Darwish Kamarul Hafiz, 19, yang menjadi antara empat individu terkorban dalam nahas empat kenderaan di Kilometer 32.5, Jalan Muar-Segamat berdekatan Bandar Baru Sagil, malam Jumaat.
Darwish yang juga anak bongsu daripada tiga beradik dan pelajar semester kedua Sijil Teknologi Penyejukan dan Penyaman Udara di Kolej Komunit Ledang menghembuskan nafas akhir ketika menerima rawatan di Hospital Segamat.
Menurut Kamarul Hafiz, Darwish yang juga bekerja secara sambilan sebagai tukang gunting rambut berhampiran rumah terlibat dalam nahas sewaktu dalam perjalanan pulang ke kediaman mereka selepas bekerja.
"Sewaktu perjalanan pulang dari urusan di bandar Tangkak pagi semalam, saya lalu di depan kolej Darwish. Kebetulan Darwish ada di depan kolej dan lambai ke arah saya.
"Darwish seorang anak yang baik, rapat dan manja dengan keluarga serta sering membantu ibu bapa dalam urusan harian," katanya.
Kamarul Hafiz menambah, anaknya itu berkawan rapat dengan seorang lagi mangsa yang maut, Muhammad Alauddin Shah Zulkarnain, 20 dan turut bekerja di kedai gunting yang sama.
Bercerita lanjut, Kamarul Hafiz berkata, sepatutnya Darwish menyertai kursus gunting rambut di Segamat pada pagi Sabtu.
"Darwish cukup berminat dengan bidang gunting rambut dan cukup disenangi majikan dan pelanggannya.
"Sebelum ini, Darwish ada beritahu saya tentang kursus gunting rambut di Segamat yang akan disertai pada pagi Sabtu tetapi saya tidak sangka hajatnya itu tidak kesampaian," katanya sebak.
Jenazah Muhammad Darwish selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kontang di sini manakala Muhammad Alauddin dikebumikan di Parit Bakar, Muar.
Sementara itu, penunggang motosikal Sky Chang Ji Shiang, 20, dan pembonceng, Pang Chong Chong, 18, yang meninggal dunia di lokasi kejadian dijangka disemadikan pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd Talib berkata, laporan berhubung kemalangan maut terbabit diterima pada jam 10.55 malam.
Katanya, nahas berkenaan melibatkan tiga mangsa lelaki dan seorang remaja perempuan berusia antara 18 hingga 20 tahun.
"Tiga mangsa iaitu penunggang motosikal Yamaha 135LC dan penunggang Yamaha Y15ZR serta pembonceng, remaja perempuan meninggal dunia di tempat kejadian.
"Seorang lagi penunggang motosikal Yamaha 135LC meninggal dunia di Hospital Tangkak semasa sedang mendapatkan rawatan.
"Bagaimanapun, pemandu kereta Perodua Myvi bersama penumpang tidak mengalami kecederaan," ujarnya.