Tadbir urus bermakna berkhidmat untuk rakyat, bukan mengejar kuasa - Lula

Iklan
Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva pada sidang media, pada Sabtu.

PUTRAJAYA - Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva menekankan kepentingan tadbir urus negara sebagai satu bentuk khidmat kepada rakyat, khususnya golongan miskin dan rentan.

Bercakap pada sidang media bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas pertemuan dua hala di Seri Perdana di sini pada Sabtu, Lula berkata, tadbir urus bukan soal kuasa tetapi sebagai perkhidmatan kepada rakyat.

Iklan
Iklan

"Apabila kami mentadbir sesebuah negara, saya sebenarnya tidak suka menggunakan perkataan ‘mentadbir’. Saya lebih gemar menggunakan istilah ‘menjaga’, kerana misi kami adalah untuk berkhidmat kepada mereka yang kami wakili,” katanya.

"Untuk benar-benar menjaga rakyat bermaksud memberi tumpuan kepada mereka yang paling memerlukan. Merekalah individu yang benar-benar memerlukan peranan serta sokongan kerajaan,” katanya lagi.

Iklan

Lula tiba di Malaysia semalam untuk lawatan rasmi selama tiga hari sebagai Tetamu Pengerusi ASEAN, bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan.

Menyentuh konflik global, Lula mengecam Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kerana gagal menangani dan mencegah pelbagai konflik global, khususnya peperangan di Ukraine serta krisis kemanusiaan di Semenanjung Gaza.

Iklan

"Siapa boleh menerima tempoh peperangan yang berlarutan antara Ukraine dan Rusia? Bagaimana kita boleh berdiam diri terhadap genosid yang telah lama berlaku di Semenanjung Gaza?

"Pada hari ini, Majlis Keselamatan PBB dan PBB sendiri sudah tidak lagi berfungsi. Jika kita tidak mewujudkan sistem dunia baharu yang boleh berkata 'ini tidak boleh berlaku', perkara sebegini akan terus berulang," katanya.

Lula turut memberi amaran bahawa planet ini sedang berdepan risiko akibat perubahan iklim dan mengkritik kegagalan pelaksanaan perjanjian global terdahulu.

Beliau berkata, protokol dan perjanjian terdahulu seperti Protokol Kyoto dan Perjanjian Paris tidak dilaksanakan sepenuhnya.

"Protokol Kyoto tidak dipraktikkan, manakala Perjanjian Paris juga tidak dihormati oleh banyak pihak. Sudah tiba masanya kita berfikir untuk menyelamatkan planet Bumi, bukan sekadar negara masing-masing. Pada ketika inilah anda memerlukan instrumen untuk tadbir urus global, dan inilah yang kita kekurangan hari ini," katanya.

Mengenai penyertaan Brazil dalam Sidang Kemuncak ASEAN, Lula berkata, ia mencerminkan hubungan diplomatik kukuh antara kedua-dua negara, sambil menyifatkan lawatan delegasi Brazil ke Malaysia sebagai amat penting memandangkan ini kali pertama sebuah negara Amerika Latin dijemput menyertai sidang itu.

"Ini sesuatu yang amat bermakna dan hanya dapat berlaku kerana wujudnya tahap keyakinan antara kita, antara rakyat kedua-dua negara. Saya berharap penyertaan Brazil esok dan pada hari-hari berikutnya, akan memberi impak yang bermakna," katanya.

Pada Ahad, Presiden Brazil itu akan menghadiri majlis pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan serta menyampaikan ucapan pada Sidang Kemuncak Asia Timur ke-20 sebelum menghadiri Majlis Makan Malam Gala yang dihoskan oleh Anwar dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada 27 Okt.

Menurut kenyataan, Lula juga akan menyertai Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan ASEAN (ABIS) pada 25 dan 26 Oktober.

Pada 2024, Brazil merupakan rakan dagangan kedua terbesar Malaysia di Amerika Latin dengan jumlah perdagangan dua hala sebanyak RM20.36 bilion (AS$4.46 bilion).

Eksport Malaysia merangkumi produk elektrik dan elektronik, minyak sawit, getah dan farmaseutikal halal, manakala import terdiri daripada bijih, makanan diproses dan produk petroleum. - Bernama