Bangunkan industri baharu, elak hutang negara ‘membengkak’

Iklan
Malaysia disaran segera bangunkan industri baharu berasaskan sumber tempatan bagi mengawal hutang negara yang kini mencecah RM1.3 trilion dan menjamin kestabilan ekonomi jangka panjang. - Mohd Azwardi (gambar kecil)

ALOR SETAR – Malaysia perlu segera membangunkan industri baharu berasaskan sumber tempatan bagi mengelakkan hutang negara terus ‘membengkak’ dan menjejaskan kestabilan ekonomi dalam jangka panjang.

Pensyarah Kanan Jabatan Perniagaan Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Mohd Azwardi Md Isa berkata, kebergantungan negara terhadap bahan mentah seperti petroleum dan minyak sawit tidak lagi mampu menjadi model ekonomi yang mampan.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, hutang negara yang kini mencecah RM1.3 trilion merupakan angka yang besar berbanding kemampuan semasa kerajaan untuk menampung bayaran balik pinjaman.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2026 turut mengakui perkara ini. Hutang RM1.3 trilion adalah besar berbanding keupayaan negara kita untuk membayar balik hutang-hutang tersebut,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Iklan

Mohd Azwardi berkata, sudah tiba masanya Petronas ditransformasikan daripada syarikat pengeluar petroleum kepada peneraju industri hiliran seperti petrokimia dan plastik, perubatan dan farmaseutikal serta bahan binaan seperti tar dan asfalt bagi menggandakan keuntungan.

“Keuntungan Petronas yang menjadi tunjang belanjawan negara turut merosot daripada RM173.6 bilion kepada RM132.6 bilion bagi tempoh separuh pertama tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025. Penurunan ini berpunca daripada kejatuhan harga purata produk petroleum dan minyak mentah global,” katanya.

Iklan

Menurutnya lagi, industri minyak sawit negara juga perlu beranjak daripada hanya mengeksport minyak sawit mentah kepada penghasilan biodiesel bernilai tambah tinggi, memandangkan Malaysia merupakan pengeluar kedua terbesar dunia dengan sumbangan kira-kira 26 peratus pengeluaran global.

“Kita masih terkebelakang dalam industri biodiesel sedangkan negara maju seperti Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah sudah lama mendominasi industri biodiesel. Malaysia masih berada di tahap pengeluaran bahan mentah,” ujarnya.

Beliau turut menyarankan supaya kerajaan memanfaatkan potensi industri unsur nadir bumi (REE) seperti dysprosium dan terbium yang digunakan dalam teknologi tinggi termasuk kenderaan elektrik, turbin angin dan peralatan elektronik.

“Dysprosium mempunyai pelbagai kegunaan, terutamanya dalam teknologi tinggi seperti penyimpanan data, penjana kuasa (turbin angin, kenderaan elektrik) dan reaktor nuklear (rod kawalan).

“Terbium digunakan dalam teknologi moden seperti fosfor hijau untuk paparan skrin dan lampu LED, magnet, peranti keadaan pepejal dan sel bahan api, serta digunakan dalam sensor optik, teknologi laser dan beberapa aplikasi ketenteraan.

“Industri berkaitan REE ini perlu dibangunkan sendiri oleh negara secara pesat kerana ia mampu membawa ekonomi ke arah lebih makmur,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan perlu bertindak segera mengurangkan hutang bagi tahun mendatang berikutan hutang luar negara meningkat 3.9 peratus kepada RM1.4 trilion atau 69.6 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada akhir Jun 2025 berbanding RM1.35 trilion pada tahun lepas.

“Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli turut menyuarakan kebimbangan kerajaan mungkin tidak mampu menambah baik kedudukan hutang negara dalam tempoh dua tahun berbaki penggal pentadbiran.

“Beliau menggesa hal ehwal pengurusan hutang diperbaiki kerana pengurusan hutang negara tidak lagi boleh berjalan seperti biasa,” katanya.

Mohd Azwardi menjelaskan, Belanjawan 2026 yang terlalu fokus kepada perbelanjaan pengurusan, iaitu 81 peratus berbanding perbelanjaan pembangunan hanya 19 peratus daripada RM81 bilion, mampu menjerumuskan negara ke arah bencana kewangan kerana ia menggambarkan perbelanjaan melebihi pendapatan.

“Perbelanjaan pembangunan merujuk kepada perbelanjaan modal dan pelaburan jangka panjang. Perbelanjaan pengurusan pula untuk kos pentadbiran bersifat berulang, seperti gaji kakitangan kerajaan dan pembayaran hutang.

“Jika bajet terlalu tumpu kepada kos pengurusan, ia ibarat menambah beban pasir jerlus; nampak stabil di luar tetapi menjerat kewangan negara dari dalam,” katanya.

Beliau turut mengakui tindakan kerajaan mengutip RM15.5 bilion hasil rampasan dan penalti sepanjang 2024 dan 2025 sebagai langkah baik, namun menegaskan hasil sedemikian tidak wajar dijadikan sumber tetap kerana ia bukan hasil penjanaan ekonomi tulen.

“Negara perlu elak berdepan krisis kewangan seperti yang dihadapi Sri Lanka, Greece atau Mexico. Negara kita mempunyai ramai tenaga mahir dalam pelbagai bidang seperti kejuruteraan, farmasi, geologi, kimia, biologi dan banyak lagi.

“Gunakan kepakaran mereka termasuk rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara untuk kembali menyumbang kepada negara tercinta. Beri peluang untuk mereka membina industri baharu yang berdaya saing,” katanya.

Mohd Azwardi menegaskan, ahli politik serta pembuat dasar daripada kerajaan mahupun pembangkang perlu sepakat menetapkan hala tuju ekonomi negara bagi memastikan hutang negara dapat dikawal melalui strategi dan perancangan berkesan.