KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) menyifatkan Belanjawan 2026 sebagai bukti keprihatinan besar Kerajaan Madani terhadap masa depan pendidikan negara apabila memperuntukkan sebanyak RM66.2 bilion kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), meningkat daripada RM64.2 bilion tahun lalu.
Pengerusi Biro Pendidikan dan Perubahan Masyarakat Amanah, Azli Yusof berkata, langkah itu memperlihatkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh sistem pendidikan sebagai teras kemajuan negara bangsa.
Beliau berkata, inisiatif pembinaan 38 sekolah baharu di seluruh negara yang melibatkan pelbagai negeri dan kawasan dengan geografi berbeza akan membantu mengurangkan kepadatan bilik darjah serta mempercepat akses pendidikan berkualiti kepada anak-anak di kawasan pesat membangun.
“Peruntukan hampir RM1 bilion bagi menaik taraf lebih 520 sekolah daif, khususnya di Sabah, Sarawak dan kawasan luar bandar, menggambarkan keazaman kerajaan menoktahkan isu ketidaksamaan antara wilayah,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Amanah turut menekankan bahawa pelbagai bantuan persekolahan berjumlah RM5.6 bilion, termasuk Bantuan Awal Persekolahan (BAP), Biasiswa Kecil Persekutuan dan Rancangan Makanan Tambahan, membuktikan pendekatan inklusif kerajaan dalam memastikan tiada anak Malaysia tercicir daripada sistem pendidikan.
Dalam pada itu, Amanah menyokong peruntukan RM18.6 bilion kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi memperkukuh universiti awam, politeknik dan kolej komuniti, termasuk RM401 juta bagi penyelenggaraan prasarana dan penggantian peralatan usang.
Belanjawan 2026 turut memperlihatkan usaha memperluas peluang pendidikan kepada golongan berpendapatan rendah melalui pendidikan percuma PTPTN kepada 5,800 pelajar daripada keluarga miskin (RM120 juta) serta pengecualian bayaran balik PTPTN kepada 6,000 graduan kelas pertama daripada keluarga B40 dan M40 (RM90 juta).
“Amanah melihat langkah ini sebagai pelaburan besar dalam mobiliti sosial anak muda Malaysia,” ujar Azli.
Selain itu, parti tersebut menyokong peningkatan peruntukan kepada RM7.9 bilion bagi sektor Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), berbanding RM7.5 bilion tahun sebelumnya, bagi memperkukuh tenaga kerja berkemahiran tinggi yang menjadi teras ekonomi masa depan negara.
Bagi pendidikan khas, Amanah mengalu-alukan pembinaan dua sekolah baharu – SMK Pendidikan Khas Kota Damansara (Selangor) dan SMK Pendidikan Khas Pasir Mas (Kelantan) – serta pembangunan 35 blok tambahan bernilai sekitar RM700 juta.
Turut disokong ialah pemberian elaun RM150 sebulan kepada 150,000 murid OKU (RM270 juta) dan pembinaan kemudahan mesra OKU bernilai RM30 juta yang dilihat mencerminkan keadilan sosial yang dipelopori Kerajaan Madani.
Azli menegaskan, pelaksanaan dasar tersebut perlu dijalankan dengan cekap, telus dan berfokus kepada hasil agar manfaat peruntukan benar-benar sampai kepada sekolah luar bandar, pelajar miskin, anak Orang Asli dan komuniti marginal.
“Amanah akan terus memainkan peranan aktif memantau serta menyokong pelaksanaan dasar ini bagi memastikan setiap ringgit yang dibelanjakan memberi impak maksimum,” katanya.
Beliau turut menyeru semua pihak termasuk warga pendidik, ibu bapa, pelajar, NGO pendidikan serta masyarakat umum untuk bersama-sama menjayakan agenda pendidikan Kerajaan Madani ke arah sistem pendidikan yang berkeadilan, progresif dan berpaksikan nilai-nilai Madani.