KUALA LUMPUR - Polis tidak membenarkan sebarang penganjuran himpunan di Ampang Park, Jalan Ampang di sini pada Ahad atas faktor keselamatan dan ketenteraman awam sepanjang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang berlangsung di ibu negara.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, masyarakat perlu mematuhi undang-undang selaras dengan nilai demokrasi yang diamalkan di negara ini bagi menjaga keamanan dan kesejahteraan orang awam.
Menurutnya, lokasi Ampang Park tidak bersesuaian sebagai tempat berhimpun berdasarkan risikan dan analisis pihak polis kerana jaraknya kira-kira 50 meter daripada zon merah.
"Zon merah ini dalam kawasan di mana penglibatan aktif laluan-laluan protokol semua delegasi ASEAN.
"Lokasi himpunan (Ampang Park) ini juga berhampiran dengan Hotel Intercontinental iaitu menjadi antara hotel yang diduduki oleh delegasi yang terlibat dalam Sidang ASEAN ini," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada Sabtu.
Beliau berkata, polis juga telah mengadakan perbincangan dengan pihak penganjur dan mencadangkan agar himpunan dibuat di lokasi lain iaitu di Dataran Merdeka atau Padang Merbok.
Bagaimanapun, Fadil berkata, pihaknya difahamkan pihak penganjur masih enggan dan mahu meneruskan himpunan di Ampang Park.
"Himpunan itu dijangka melibatkan kehadiran seramai 1,000 sehingga 1,500 orang bermula jam 9 pagi berkaitan isu Gaza selain menolak kehadiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump," ujarnya.
Tegasnya, pihak penganjur dan semua masyarakat diingatkan untuk memberi kerjasama sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"Polis tidak akan membenarkan apa-apa perhimpunan di kawasan Ampang Park esok dan kita menegah sebarang penglibatan orang ramai atas isu keselamatan serta imej negara.
"Saya faham tentang perhimpunan dan hak bersuara ini tapi atas isu keselamatan dan imej negara sebagai pengerusi ASEAN, pihak polis sekali lagi menegaskan bahawa kita akan meminta kepada masyarakat untuk memberikan kerjasama," ujarnya.
Kata Fadil, sekiranya himpunan itu diteruskan, ia bermakna bercanggah dengan arahan keselamatan dan polis akan mengambil tindakan awal agar tiada mana-mana pihak masuk ke lokasi terbabit.
Sidang Kemuncak ASEAN akan berlangsung pada 26 hingga 28 Oktober di Kuala Lumpur.