Tiada insiden tidak diingini ketika himpunan bantah kehadiran Trump - Polis

Iklan
Antara peserta yang mengambil bahagian dalam himpunan tersebut di ibu negara pada Jumaat.

KUALA LUMPUR – Himpunan membantah kehadiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump di Jalan Tun Razak di sini pada Jumaat berlangsung aman tanpa sebarang insiden tidak diingini.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, himpunan yang bermula kira-kira jam 2 petang itu berakhir sekitar jam 4 petang.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, seramai 488 petugas keselamatan terdiri daripada pegawai dan anggota pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) ditugaskan bagi memastikan kelancaran himpunan.

"Himpunan berlangsung dengan kawalan keselamatan berada pada tahap terbaik dan tiada sebarang kejadian tidak diingini dilaporkan.

Iklan

"Keselamatan peserta serta ketenteraman awam terkawal sepenuhnya," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Katanya, seramai 18 pegawai turut ditempatkan di lokasi bagi memantau keadaan serta mengelak sebarang kekecohan.

Iklan

Terdahulu, kira-kira 700 individu dilaporkan menyertai perhimpunan berkenaan bagi menyatakan bantahan terhadap kehadiran Trump sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 yang sedang berlangsung di ibu negara.

Media sebelum ini melaporkan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, menasihatkan supaya tiada sebarang perhimpunan diadakan sepanjang sidang kemuncak itu bagi menjaga imej negara serta keselamatan delegasi antarabangsa.

Jelas beliau, kawasan sekitar Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) diklasifikasikan sebagai zon kawalan keselamatan dan menjadi tumpuan utama pemimpin luar negara sepanjang persidangan berlangsung.