'Pelik, dah lapan hari' - Peguam persoal Najib belum terima surat rasmi pengampunan bersyarat

Iklan
Najib - FOTO: Bernama

KUALA LUMPUR – Biarpun Datuk Seri Najib Tun Razak mendapat pengampunan bersyarat daripada Yang di-Pertuan Agong lapan hari lalu, namun bekas Perdana Menteri itu belum menerima surat rasmi yang membolehkannya menjalani baki hukuman kes SRC International di bawah tahanan rumah.

Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah turut menyifatkan perkara berkenaan sebagai suatu yang pelik.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pasukan pembelaan bekas Ahli Parlimen Pekan berusia 73 tahun itu juga belum menerima dokumen yang memperincikan syarat-syarat pengampunan tersebut.

Bukan itu sahaja, Muhammad Shafee mendakwa pihak penjara turut belum menerima dokumen rasmi yang sama.

Iklan

“Sebaik sahaja Yang di-Pertuan Agong membuat keputusan di bawah kuasa prerogatif, individu paling penting ialah Najib kerana yang sedang menjalani hukuman penjara dan akan diletakkan di bawah tahanan rumah.

“Bagaimanapun sehingga hari ini, Najib masih belum menerima surat itu, kami tidak tahu punca surat itu mengambil masa yang begitu lama,” katanya ketika sidang akhbar di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Jumaat.

Iklan

Beliau berkata, kelewatan menerima dokumen rasmi berkenaan turut menjejaskan langkah seterusnya yang perlu diambil pasukan guaman kerana mereka masih tidak mengetahui secara terperinci syarat-syarat yang ditetapkan.

Beliau berkata, surat berkenaan penting bagi membolehkan pihaknya memahami skop pengampunan bersyarat itu serta menentukan tindakan lanjut yang perlu diambil.

Pada 18 September lalu, Najib mendapat pengampunan bersyarat daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dengan baki hukuman penjara dijalani secara tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028.

Keputusan itu diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-64 yang diadakan pada tarikh sama.

Menurut Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri, pengampunan bersyarat itu tertakluk kepada Najib membayar denda RM50 juta.

Najib hendaklah mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan dan sekiranya tidak mematuhi mana-mana syarat-syarat tersebut, maka pengampunan bersyarat berkenaan terbatal dan hendaklah secara serta-merta meneruskan baki hukuman di penjara

Najib dihukum penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020 atas tujuh pertuduhan berkaitan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Pada 23 Ogos 2022, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan terakhir Najib dan mengekalkan sabitan serta hukuman berkenaan.

Pada hari sama, Najib mula menjalani hukuman di Penjara Kajang.

Tidak lama selepas itu, Najib mengemukakan petisyen pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong pada 2 September 2022.

Permohonan tersebut kemudian dipertimbangkan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan pada 29 Januari 2024.

Pada 2 Februari 2024, BHEUU mengumumkan keputusan Lembaga Pengampunan yang mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.