'Saya panjat kereta bersama anak dan berdoa' - Jururawat kongsi detik cemas rumah dinaiki air

Iklan
Noor Shafinaz bersama anaknya bersyukur terselamat dalam kejadian banjir di Taiping pada Khamis.

TAIPING -"Saya panjat kereta bersama anak dan hanya mampu berdoa agar kami selamat.”

Itu detik mencemaskan diceritakan seorang jururawat, Noor Shafinaz Fadzil, 42, ketika banjir melanda kediamannya di Taman Larah Damai pada Khamis.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira jam 6 petang sebaik pulang dari kerja sebelum mendapati paras air naik mendadak menenggelamkan rumah mereka.

"Dalam beberapa minit, air dah sampai ke pinggang. Kami cuba keluar, tapi arus terlalu kuat,” katanya ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Changkat Larah di sini pada Jumaat.

Iklan

Beliau berkata, tekanan air yang kuat menyebabkan pintu gelangsar rumahnya tercabut dan mereka sekeluarga termasuk suami, Mokhairi Mohammad, 46, dan anak lelaki berusia tiga tahun terperangkap.

"Kami dihanyutkan arus sekejap sebelum dapat berpaut pada kereta. Masa itu saya buat panggilan video kepada ayah di Sungai Petani untuk minta bantuan. Saya fikir kami tidak akan selamat,” katanya.

Iklan

Video yang dirakam Noor Shafinaz itu telah tular di media sosial memaparkan detik mencemaskan ketika banjir melanda hingga mengundang rasa simpati warga maya.

Dalam keadaan gelap tanpa bekalan elektrik, keluarga itu bergantung kepada bantuan jiran dan rakan suaminya dikenali sebagai Cikgu Alex, yang berenang meredah banjir sambil membawa kabel panjang untuk membantu mereka menyeberang ke tempat selamat.

"Kami berpaut pada kabel itu untuk seberang. Saya pegang botol minyak kosong supaya boleh terapung sebab saya tak pandai berenang,” katanya.

Tangkap layar video tular memaparkan detik cemas dilalui Noor Shafinaz.

Mokhairi pula hampir lemas dua kali sebelum diselamatkan seorang anggota polis yang berada berhampiran.

Anak kecil mereka turut diselamatkan oleh rakan suaminya itu dalam keadaan arus deras dan gelap.

Keluarga itu akhirnya berjaya menyelamatkan diri selepas meredah air sejauh kira-kira 500 meter, namun dua kereta dan sebuah motosikal mereka tenggelam sepenuhnya.

"Saya hanya sempat selamatkan telefon bimbit untuk hubungi keluarga. Semua barang lain sudah musnah," katanya yang bersyukur mereka masih selamat walaupun kehilangan segalanya.