SHAH ALAM - Seramai dua bekas kakitangan bank dan seorang pegawainya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat kerana menerima rasuah berjumlah RM449,998.61 membabitkan pinjaman peribadi pelanggan bermula pada 2021 lalu.
Mohd Kamaruzaman Zainudin, 40, Muhammad Hafiz Farhan Mohd Nor Izham, 30, dan Muhammad Najmi Mu’az Pekan, 34, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca secara berasingan di hadapan Hakim, Awang Kerisnada Awang Mahmud.
Mengikut 30 pertuduhan, Mohd Kamaruzaman didakwa menerima rasuah berjumlah RM378,166.20 secara tunai daripada seorang lelaki berusia 42 tahun semasa bertugas sebagai pegawai pemasaran di sebuah cawangan bank di Bangi.
Ia sebagai upah kepada tertuduh kerana membantu memproses permohonan pembiayaan peribadi seorang pelanggan yang membuat permohonan serupa di beberapa institusi kewangan lain secara serentak sehingga menyebabkan pelanggan tersebut mempunyai beberapa pinjaman melebihi had kelayakannya.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah syarikat di Damen USJ Komersil, Persiaran Kewajipan, USJ 1 di Subang Jaya di sini antara Disember 2021 hingga Disember 2024.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah subseksyen 24(1) akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Sementara Muhammad Hafiz Farhan pula berdepan sembilan pertuduhan iaitu sebagai bekas pegawai pemasaran sebuah bank cawangan Kota Damansara dituduh menerima rasuah wang berjumlah RM46,092.40 secara pindahan dalam talian ke akaun banknya daripada seorang wanita berusia 32 tahun dan dua syarikat bagi tujuan yang sama.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah bank di Jalan Kepayang, di sini antara 6 Disember 2023 hingga 7 Ogos 2024 mengikut seksyen dan peruntukan hukuman sama.
Bagi Muhammad Najmi Mu’az yang ketika itu merupakan eksekutif pembiayaan pengguna sebuah bank, dia berdepan empat pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM25,740.01 daripada sebuah syarikat dan wanita berusia 32 tahun bagi tujuan yang sama.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Asmaa’ Zamri mencadangkan Mohd Kamaruzaman diberi jaminan berjumlah RM100,000 manakala dua lagi tertuduh masing-masing berjumlah RM25,000.
"Termasuk syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah, melaporkan diri ke Pejabat SPRM Putrajaya dan tidak mengganggu saksi pendakwaan," katanya.
Mohd Kamarulzaman diwakili peguam, Chua Yong Yi; Muhammad Hafiz Farhan diwakili R Palaya dan Muhammad Najmi Mu’az diwakili Abdul Hakeem Aiman.
Pembelaan memohon anak guam masing-masing diberi jaminan pada kadar minimum.
Selepas mendengar permohonan daripada semua pihak, hakim membenarkan Mohd Kamarulzaman dijamin dengan RM30,000, Muhammad Hafiz Farhan (RM10,000) dan Muhammad Najmi Mu’az (RM7,000) dengan seorang penjamin.
Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 17 Disember depan bagi Muhammad Hafiz Farhan dan Muhammad Najmi Mu’az manakala 9 Disember untuk Mohd Kamarulzaman.
Pada 9 September lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, menerusi Op Sky, 20 pegawai bank akan didakwa di mahkamah di bawah Akta SPRM 2009 pada hujung September atau awal Oktober.