PASIR SALAK – Kerajaan negeri memberi jaminan pelepasan air dari semua empangan di Perak dilakukan secara berperingkat dan terkawal bagi mengelak sebarang impak buruk kepada penduduk terutama di kawasan rendah.
Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, langkah itu dilaksanakan dengan pemantauan rapi oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta Lembaga Air Perak (LAP) susulan keadaan cuaca tidak menentu ketika ini.
Menurutnya, sebarang pelepasan air hanya dibuat selepas mendapat kebenaran dan arahan rasmi daripada pengurus empangan serta agensi berkaitan bagi memastikan paras air tidak melebihi tahap bahaya.
"Kita akan pastikan jika hujan berpanjangan dan paras air di empangan meningkat, pelepasan dilakukan sedikit demi sedikit, bukan sekaligus.
"Langkah ini penting bagi mengelak kesusahan rakyat dan memastikan keselamatan kawasan sepanjang jajaran sungai," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Festival Durian Antarabangsa Kampung Gajah 2025 di Kompleks Desa Warisan Institut Agro Usahawan (IGROW), Kampung Gajah di sini pada Jumaat.
Mohammad Nizar berkata, setakat ini paras air di Empangan Temenggor dan Empangan Chenderoh masih berada dalam keadaan terkawal dan belum melepasi paras bahaya.
Katanya, kerajaan negeri turut bekerjasama rapat dengan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan JPS untuk memantau ramalan cuaca serta mengeluarkan amaran awal kepada penduduk di kawasan berisiko banjir.
"Apabila kita terima maklumat hujan luar biasa daripada MetMalaysia, agensi-agensi berkaitan termasuk JPS, pejabat daerah dan pasukan penyelamat akan diarah bersiap sedia dengan aset masing-masing.
"Langkah berjaga-jaga ini termasuk memastikan rumah pam berfungsi mengikut jadual bagi mengelak kejadian banjir termenung,” katanya.
Dalam masa sama, Mohammad Nizar turut menasihatkan penduduk agar sentiasa peka terhadap laporan cuaca dan arahan daripada pihak berkuasa sepanjang musim tengkujuh yang dijangka berlanjutan hingga penghujung November ini.