SHAH ALAM - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) komited dan sentiasa cakna membantu generasi muda serta pekerja gig memiliki rumah idaman mereka menerusi pelbagai inisiatif di bawah Belanjawan 2026.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, Kerajaan Madani sentiasa mendukung prinsip 'tiada yang tertinggal, tiada yang terpinggir' dalam memastikan kesejahteraan rakyat terus terjamin.
"Di bawah inisiatif Belanjawan 2026, Kerajaan Madani menambah peruntukan sebanyak RM10 bilion bagi Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) untuk membantu 80,000 pembeli rumah.
"Melalui SJKP, kerajaan bertindak sebagai penjamin sehingga 120 peratus dari pinjaman bagi membantu generasi muda dan pekerja gig yang tidak mempunyai slip gaji tetap untuk memiliki rumah, dengan syarat mereka tidak disenaraihitam oleh mana-mana institusi kewangan," katanya ketika wawancara bersama RTM pada Jumaat.
Tambah beliau, sehingga 31 Julai lalu, SJKP telah berjaya memberi manfaat kepada 93,231 pemohon dengan jumlah jaminan pinjaman perumahan mencecah RM22.1 bilion.
Katanya, daripada jumlah itu, 67 peratus melibatkan rumah berharga bawah RM300,000, yang membantu ramai belia merealisasikan impian memiliki rumah sendiri.
Selain itu, ujarnya, Belanjawan 2026 turut memberi pengecualian duti setem bagi pembeli rumah pertama sehingga 31 Disember 2027.
“Kita menggalakkan golongan muda membeli rumah dan melalui dasar serta inisiatif sokongan ini, kerajaan mahu membantu mereka merealisasikan impian memiliki kediaman sendiri.
"Menerusi inisiatif ini pembeli rumah pertama yang membeli rumah berharga RM500,000 ke bawah layak menikmati pengecualian duti setem, sekali gus dapat menjimatkan sehingga RM10,000 dan mengurangkan beban kewangan generasi muda.
"Pada masa ini, kadar pemilikan rumah di negara kita berjaya mencapai 76.5 peratus, ini menunjukkan trend pertumbuhan yang sihat. Inisiatif Belanjawan 2026 bukan sahaja membantu rakyat memiliki rumah idaman, malah turut mengekalkan pertumbuhan stabil dalam sektor hartanah negara," ujar beliau.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan komitmen Kerajaan Madani untuk terus menyediakan rumah mampu milik berkualiti termasuk rumah PR1MA berharga sekitar RM300,000 di kawasan bandar, serta Rumah Mesra Rakyat berharga sekitar RM75,000 di atas tanah persendirian melalui Syarikat Perumahan Nasional Berhad (SPNB) dengan bantuan subsidi setiap RMR RM20,000.
"Melalui inisiatif-inisiatif ini, KPKT berharap agar lebih ramai rakyat Malaysia, khususnya generasi muda dan pekerja gig dapat memiliki rumah sendiri dan menikmati kualiti hidup yang lebih baik selaras dengan aspirasi Kerajaan Madani," katanya.