TEMERLOH -"Saya disepak dan diterajang malah kepala dihentak ke mesin basuh."
Demikian kata warga emas, Robiah Mat, 78, selepas berdepan detik mencemaskan apabila disamun seorang lelaki di rumahnya di Taman Temerloh Jaya di sini pada Khamis.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.20 petang itu, Robiah disapa suspek yang menunggang motosikal dan berhenti di hadapan rumahnya.
"Lelaki itu minta air dan saya pergi ke dapur. Dia pun ikut masuk sekali ke dalam rumah walapun saya ada tegur jangan masuk tapi dia kata kenal saya.
"Selepas minum, secara tiba-tiba dia terus merentap gelang saya," katanya ketika ditemui di sini pada Jumaat.
Ujar warga emas itu, lelaki terbabit juga menyerangnya dengan menerajang dan menyepak pinggul sebelum menghentak kepalanya di mesin basuh.
"Ketika kejadian, saya menjerit dan merayu supaya tidak diapa-apakan kerana sedang puasa,namun lelaki itu tidak peduli sebelum keluar melarikan diri.
"Lelaki itu juga sempat merampas telefon bimbit milik cucu berusia lima tahun yang berada di ruang tamu," katanya sambil menambah seorang lagi cucu lelaki berusia 15 tahun sedang tidur di dalam bilik.
Jelas Robiah, gelang yang dirampas lelaki itu hanya emas Korea yang diberikan oleh besannya.
"Saya mengakui ini kecuaian sendiri kerana tidak kunci pagar sebab sebelum itu baru keluar beli santan," katanya yang masih trauma.
Kejadian itu menyebabkan Robiah mengalami kecederaan di kepala dan juga tangan.
Dalam pada itu, cucu mangsa, Muhammad Nazreeq Miqael Mohd Nazir, 15, memberitahu, ketika kejadian dia sedang tidur akibat keletihan selepas pulang dari sekolah.
"Saya rasa bersalah sebab memang langsung tak dengar jeritan nenek dan hanya tersedar selepas ketukan kuat di pintu.
"Sedar-sedar orang sudah ramai di rumah dan mesin basuh teralih. Syukur kerana nenek selamat walaupun mengalami kecederaan akibat serangan tersebut," katanya lagi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian tersebut.
Menurutnya, mangsa mengalami kerugian kira-kira RM1,000 dan kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun menyebabkan kecederaan.
Tambahnya, pihak polis kini sedang giat mengesan suspek dan beliau juga meminta orang ramai lebih berhati-hati dengan individu tidak dikenali.