SHAH ALAM – Majoriti pengguna media sosial berpandangan bahawa pengaruh media sosial menjadi punca pelbagai masalah dihadapi oleh pelajar masa kini.
Hasil undian atau poll yang dijalankan Sinar Harian pada 23 Oktober 2025 di empat platform media sosial, Facebook, Instagram, YouTube dan X (Twitter) mendapati lebih 43 peratus pengguna memilih media sosial sebagai faktor yang menyumbang kepada masalah pelajar.
Undian yang dijalankan selama 24 jam dan berakhir pada jam 10 pagi Jumaat itu turut menunjukkan perbezaan pandangan antara pengguna di setiap platform.
Di Facebook, 60 peratus responden memilih media sosial sebagai punca utama, diikuti masalah institusi pendidikan (25 peratus) dan masalah ibu bapa (15 peratus).
Sementara itu, platform X menunjukkan 45 peratus pengguna menyalahkan media sosial, sementara 42 peratus memilih ibu bapa sebagai punca masalah pelajar, dan selebihnya (13 peratus) menyatakan institusi pendidikan sebagai faktor penyumbang.
Bagi Instagram, 63 peratus pengguna memilih media sosial sebagai punca, 30 peratus melihat ibu bapa sebagai punca, manakala hanya 7 peratus memilih institusi pendidikan.
Di YouTube, 56 peratus memilih media sosial sebagai penyebab utama, 29 peratus ibu bapa dan 15 peratus institusi pendidikan.
Namun, platform Threads menunjukkan pola yang sedikit berbeza apabila 51 peratus responden berpendapat masalah pelajar berpunca daripada ibu bapa, sementara 43 peratus memilih media sosial dan 5 peratus menyalahkan institusi pendidikan.
Media sebelum ini melaporkan tiga pelajar dan seorang bekas pelajar sebuah sekolah menengah di sini ditahan selepas disyaki melakukan rogol secara berkumpulan dan menyebarkan bahan lucah.
Penahanan dilakukan selepas polis menerima laporan daripada pengadu berusia 53 tahun selepas dimaklumkan guru disiplin berhubung rakaman tular anaknya yang berbogel.
Selain kejadian rogol, media turut melaporkan pada Selasa minggu lalu kira-kira jam 9.30 pagi, Selasa seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun maut dipercayai ditikam oleh seorang pelajar lelaki di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya.