Pemulihan ekonomi 2026: Malaysia bangkit secara sihat 

Iklan

Dalam suasana ekonomi dunia yang masih tidak menentu, Malaysia memilih pendekatan berbeza dengan melaksanakan pemulihan ekonomi secara sihat dan bertanggungjawab, bukan melalui penambahan hutang baharu.

Itulah mesej utama yang dizahirkan melalui Belanjawan 2026, hasil daripada pengurusan fiskal berdisiplin di bawah Kerajaan Madani.

Iklan
Iklan

Daripada sekadar mengejar angka pertumbuhan, kerajaan kini memberi tumpuan kepada pemulihan yang mampan dan berintegriti, memastikan setiap perbelanjaan memberi pulangan sebenar kepada rakyat dan negara.

Penganalisis ekonomi menilai langkah kerajaan menurunkan defisit fiskal sambil mengekalkan momentum pertumbuhan sebagai tanda ‘pemulihan sihat’ yang berpaksikan disiplin dan ketelusan.

Iklan

Menurut mereka, disiplin fiskal yang diterapkan memberi isyarat positif kepada pelabur serta memperkukuh keyakinan terhadap kestabilan ekonomi Malaysia.

Kerajaan juga disarankan agar terus berkomunikasi secara telus supaya rakyat memahami bahawa pemulihan ekonomi negara dicapai bukan melalui hutang baharu, sebaliknya hasil daripada pengurusan berhemah dan tadbir urus yang telus.

Iklan

Disiplin fiskal bukti kematangan pengurusan ekonomi

Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Umi Hamidaton Mohd Soffian Lee, berpandangan bahawa budaya disiplin dalam pengurusan fiskal negara mencerminkan keseriusan kerajaan dalam mewujudkan amalan tadbir urus berhemah, integriti fiskal dan kematangan ekonomi, sekali gus memastikan kelestarian kewangan negara.

DR UMI HAMIDATON

Menurutnya, pemulihan ekonomi yang diterjemahkan menerusi Belanjawan 2026 mempunyai hala tuju yang jelas ke arah mencapai pertumbuhan ekonomi mampan dan inklusif, di samping memastikan pengukuhan fiskal dilaksanakan secara berterusan meskipun dalam keadaan global yang mencabar.

“Ia penting bagi memastikan daya tahan ekonomi negara dalam jangka panjang. Pemulihan ekonomi secara sihat melibatkan pelbagai faktor asas yang menjadi pemangkin, termasuk produktiviti sektor berpotensi serta pelaburan domestik dan antarabangsa.

“Selain itu, ia tidak hanya bergantung kepada pembesaran beban tanggungan fiskal atau mewujudkan hutang baharu yang akhirnya menjadi beban kepada kerajaan,” katanya kepada Sinar Harian.

Umi Hamidaton menambah, pendekatan belanjawan yang lebih inklusif juga penting agar manfaat ekonomi dapat dirasai oleh semua lapisan masyarakat, bukan sekadar tertumpu kepada kumpulan rentan.

“Antara contohnya ialah pelaksanaan Budi Madani RON95 (BUDI95), pemerkasaan sektor pendidikan dan pelaburan bernilai tambah lain yang memberi kesan langsung kepada kesejahteraan rakyat.

“Saya lihat mesejnya kini lebih jelas apabila negara membudayakan elemen disiplin dalam pengurusan fiskal,” katanya.

Beliau turut melihat adanya anjakan penting dalam Belanjawan 2026 memandangkan ia merupakan belanjawan pertama di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Pendekatan belanjawan yang lebih inklusif juga penting agar manfaat ekonomi dapat dirasai oleh semua lapisan masyarakat, bukan sekadar tertumpu kepada kumpulan rentan.

“Sasaran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara 4.0 hingga 4.5 peratus pada tahun 2026 juga dilihat realistik kerana menggambarkan kekuatan asas ekonomi kita hari ini.

“Namun, pertumbuhan itu mesti digerakkan oleh pelaburan, dasar ekonomi yang stabil, peningkatan eksport serta pemerkasaan sektor strategik seperti Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), semikonduktor dan teknologi kecerdasan buatan (AI),” katanya.

Fokus dua mekanisme kukuh pelaksanaan Belanjawan 2026

Pakar Ekonomi Putra Business School, Profesor Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berpandangan, bagi memastikan tadbir urus, ketelusan dan disiplin fiskal dapat diperkukuh dalam pelaksanaan Belanjawan 2026, sekurang-kurangnya dua mekanisme utama perlu diberi tumpuan.

DR AHMED RAZMAN

“Pertama, pelaksanaan mesti berpaksikan kepada Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal bagi memastikan segala perbelanjaan dan keputusan dibuat selaras dengan akta tersebut.

"Kedua, melalui mekanisme myRMK yang membolehkan setiap kemajuan projek di bawah Belanjawan 2026 dan RMK13 dipantau secara berkala, iaitu setiap suku tahun,” katanya.

Beliau berkata, bagi strategi jangka panjang, kerajaan perlu terus memperkukuh hasil negara melalui kepelbagaian sumber pendapatan dan peluasan pasaran eksport menerusi kerjasama dagang antarabangsa.

“Dalam masa sama, usaha membanteras ketirisan, pembaziran dan rasuah mesti diteruskan. Ekonomi domestik juga perlu diperkasakan agar purata gaji rakyat meningkat ke tahap lebih bermaruah. 

"Apabila gaji meningkat, pemberian subsidi kepada golongan miskin dapat disusun semula secara lebih mampan,” katanya.

Menurutnya, kerajaan dapat memastikan kesejahteraan generasi akan datang terpelihara melalui tumpuan kepada ekonomi baharu yang berasaskan kemahiran tinggi serta menawarkan gaji lebih kompetitif.

Usaha membanteras ketirisan, pembaziran dan rasuah mesti diteruskan serta konomi domestik juga perlu diperkasakan agar purata gaji rakyat meningkat ke tahap lebih bermaruah. 

Mengulas lanjut, beliau berkata isyarat utama yang ingin dihantar kerajaan kepada pelabur dan rakyat melalui pendekatan pemulihan berasaskan integriti ialah kesungguhan membanteras ketirisan, pembaziran dan rasuah supaya setiap hasil negara sampai kepada golongan yang sepatutnya.

“Komitmen dan integriti yang dizahirkan kerajaan ini akan memberi keyakinan serta isyarat positif kepada pelabur dan rakyat,” ujarnya.

Tambahnya, Malaysia masih mencatat pertumbuhan KDNK positif setiap tahun, malah lebih tinggi berbanding beberapa negara ASEAN lain.

“Selain itu, peratusan hutang berbanding KDNK kekal terkawal di bawah paras 65 peratus, manakala hutang baharu semakin berkurangan. Ini membuktikan keupayaan Malaysia mengekalkan pertumbuhan ekonomi positif tanpa perlu menambah beban hutang baharu,” katanya.