Semua jabatan, agensi dikerah percepat operasi pindah mangsa banjir

Iklan
Keadaan banjir di Taman Air Putih Permai, Simpang akibat hujan lebat berterusan semalam. Gambar kecil: Saarani

IPOH - Semua jabatan dan agensi keselamatan di Perak telah digerakkan ke kawasan terjejas banjir terutama di daerah Larut, Matang dan Selama (LMS) serta Manjung bagi membantu mempercepat operasi memindahkan mangsa.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, tindakan pantas berkenaan penting bagi memastikan keselamatan penduduk sentiasa menjadi keutamaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pada masa sama pejabat-pejabat daerah bersempadan seperti Kerian, Kuala Kangsar, Kinta dan Hulu Perak turut digembleng bagi membantu menyediakan aset serta kelengkapan logistik termasuk di pusat-pusat pemindahan sementara (PPS).

"Kerajaan Negeri Perak telah mengaktifkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) mulai jam 9.30 malam Khamis susulan situasi banjir yang semakin buruk terutamanya di daerah LMS serta Manjung.

Iklan

"Setakat ini sejumlah 74 aset dan kenderaan pelbagai agensi telah digerakkan ke kawasan terjejas terdiri daripada 16 bot penyelamat, 25 lori pelbagai saiz, 8 ambulans, 12 kenderaan pacuan empat roda serta 13 khemah (C-tent) dan pelbagai peralatan keselamatan seperti jaket keselamatan dan lampu sorot mudah alih," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Saarani berkata, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR) serta pihak berkuasa tempatan (PBT) antara yang telah digerakkan sepenuhnya bagi melaksanakan operasi menyelamat, menyalurkan bantuan awal dan memastikan keselamatan penduduk di kawasan terjejas sentiasa terjamin.

Iklan

Menurutnya, tambahan aset kenderaan dan sampan juga telah digerakkan ke semua lokasi berisiko bagi memastikan operasi menyelamat dapat dilaksanakan dengan segera, tersusun dan menyeluruh.

Jelasnya, setakat jam 8 pagi, sebanyak 22 PPS beroperasi iaitu 19 buah di LMS serta tiga di Manjung yang menempatkan 759 keluarga dengan 2,171 mangsa.

"Kerajaan negeri menasihati semua penduduk di kawasan terlibat agar berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa serta tidak melakukan aktiviti berhampiran sungai, tali air atau alur limpah sepanjang tempoh hujan berterusan ini.

"JPBN bersama semua agensi berkaitan akan terus memantau keadaan semasa dan menyalurkan bantuan kepada mangsa yang terjejas," katanya.

Saarani berkata, aset logistik tambahan telah ditempatkan di lokasi strategik manakala penghantaran bekalan keperluan asas dilaksanakan secara berperingkat bagi memastikan setiap PPS mendapat bantuan yang mencukupi dan tepat pada masanya.