SHAH ALAM - Pembangunan bakat bukan sekadar soal kelayakan akademik atau peluang pekerjaan, tetapi merupakan asas kepada daya saing dan kemakmuran negara.
Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) melihat pembangunan bakat sebagai pelaburan strategik untuk menjamin pertumbuhan ekonomi yang mampan dan berdaya tahan.
Melalui Khazanah Youth Development Programme (K-Youth), inisiatif keboleh pasaran belia berasaskan peningkatan dan latihan semula kemahiran (upskilling dan reskilling), Khazanah dapat memperkukuh pembangunan modal insan serta memastikan bakat muda Malaysia kekal relevan dan berdaya saing dalam ekonomi masa depan.
Program ini terus membuktikan keberkesanannya sebagai pemangkin perubahan masa depan belia apabila ramai peserta berjaya keluar daripada kitaran pengangguran dan memperoleh pekerjaan tetap.
Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata, peruntukan RM200 juta untuk program K-Youth dalam Belanjawan 2026 mencerminkan komitmen untuk mem bangunkan bakat masa depan Malaysia.
“Program ini melatih belia dengan kemahiran baharu dan membuka peluang dalam sektor berimpak tinggi seperti semi konduktor, teknologi digital dan industri hijau, sekali gus memperkukuh daya saing Malaysia dalam ekonomi global,” katanya.
Program berstruktur ini meng gabungkan latihan industri sebenar dan bimbingan intensif, membolehkan belia menimba pengalaman, membina kemahiran dan meningkatkan keyakinan diri sebagai persediaan ke pasaran kerja.
Rakan program pula bertanggungjawab memantau kebajikan dan kemajuan peserta melalui sesi coaching dan pelbagai latihan berkala.
Sejak pelancarannya, K-Youth telah memberi manfaat kepada lebih 16,000 belia daripada pelbagai latar belakang dan bidang, termasuk teknologi, keusahawanan serta industri kreatif.
Malah, 83 peratus daripada mereka telahpun berjaya mendapat penempatan kerja selepas tamat program tersebut.
Pelaksanaan K-Youth bukan sekadar membantu menangani isu pengangguran belia, malah berperanan sebagai pelaburan sosial jangka panjang bagi membentuk tenaga kerja masa depan yang berdaya saing, berkemahiran dan beretika tinggi.
Keyakinan baharu buat Nor Adila
Nor Adila Mohamad Nayan, 29, yang berasal dari Tikam Batu, Kedah mengakui penyertaan dalam K-Youth telah membawa perubahan yang menyeluruh dalam kerjaya dan kehidupan beliau.
Bukan sahaja dapat meninjau peluang kerjaya yang stabil, malah anak kelima daripada enam beradik itu bersyukur dapat membantu ayahnya yang kini tidak mampu mengusahakan tanah sawah disebabkan faktor usia.
“Saya hanya lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) saja dan tidak pernah menyambung pelajaran.Saya memang tidak tahu apa yang perlu dilakukan ketika mencari kerja selepas habis belajar.
“Tiada siapa yang pernah membimbing atau mengajar saya mengenai etika, tatacara dan perkara penting lain yang perlu diketahui semasa memohon pekerjaan,” ceritanya tanpa berselindung.
Namun, Program K-Youth mendorong perubahan positif dalam diri Nor Adila apabila dirinya dapat mengadaptasi cara bekerja, pengurusan masa, kawalan emosi sehingga membentuk disiplin diri.
Segalanya bermula apabila pemilik sebuah kafe yang prihatin menawarkan peluang pekerjaan dan mencadangkannya untuk menyertai program tersebut. Melalui pelbagai bimbingan seperti latihan dalam pasukan dan penulisan resume, Nor Adila memberitahu, keyakinan dirinya meningkat secara mendadak.
“Coach banyak memberi semangat dan mengajar saya dari langkah pertama sehingga akhir. Banyak perubahan positif berlaku antaranya cara bekerja, pengurusan masa hinggalah perubahan sikap,” ujarnya.
Sebaik sahaja tamat program, Nor Adila terus diserap bekerja dan kini berkhidmat sebagai pegawai khidmat pelanggan di sebuah pasar raya di Tikam Batu.
“Program ini memberikan peluang terbaik dan membantu dalam kehidupan saya. Rebutlah peluang yang ada. Saya dapat kerja, dapat ilmu dan semangat baharu,” katanya penuh semangat.
Peluang latihan industri buka lembaran baharu
Inisiatif Khazanah melalui K-Youth turut membantu seorang pekerja hotel, Mohd Raj Norjeet Ranjeet, 20, dan menjadi pintu utama untuknya menjejakkan kaki dalam industri hospitaliti yang diminati sejak di bangku sekolah.
Meskipun berdepan cabaran sebagai orang kurang upaya (OKU), lepasan SPM dari Wilayah Persekutuan Labuan itu berpeluang menjalani latihan industri di sebuah hotel bertaraf lima bintang di Kota Kinabalu, Sabah.
Mohd Raj bertekad untuk menimba sebanyak mungkin ilmu dan kemahiran, termasuk cara berkomunikasi dengan pelancong, etika berpakaian, serta pengurusan penampilan diri.
“Semua itu penting apabila bekerja di hotel kerana perlu berdepan dengan ramai pelancong dari pelbagai negara,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Hasil kesungguhan Mohd Raj, anak kedua daripada tiga beradik itu mampu tersenyum dan berbangga apabila ditawarkan kerja tetap di hotel lima bintang sebaik tamat program.
Berterima kasih kepada Khazanah untuk peluang yang diberikan, Mohd Raj ujar bahawa peluang sedemikian sangat bermakna dan membuktikan bahawa golongan OKU juga mampu berjaya jika diberi sokongan sewajarnya.
Graduan undang-undang ceburi dunia data
Berbeza dengan kisah Mohd Raj, Yonie Feriney Dullie, 23, graduan undang-undang dari University of Reading Malaysia, memilih Program K-Youth sebagai batu loncatan untuk menceburi bidang teknologi data.
Anak muda kelahiran Putatan, Sabah tersebut tertarik dengan modul pem belajaran program berstruktur yang relevan dengan teknologi semasa seperti analitik data dan kecerdasan buatan (AI).
“Tiga tahun fokus pada buku undang-undang, apabila memasuki dunia pekerjaan sebenar, saya melihat sendiri bagaimana teknologi digunakan dalam operasi perniagaan.
“Ia pengalaman menarik dan mencabar kerana teknologi sekarang berubah dengan begitu cepat,” kata Yonie, yang kini sedang menjalani skim latihan industri selama tiga bulan sebagai pelatih analisis data di sebuah syarikat e-dagang di Cyberjaya.
Yonie berkata, penyertaan dalam Program K-Youth memberi kelebihan besar kepadanya seperti peningkatan kemahiran dan kebolehpasaran sebagai graduan baharu.
“Saya berharap program seumpama ini juga dapat diperluaskan kepada graduan dari luar bandar termasuk di Sabah dan Sarawak,” sarannya.
Program K-Youth turut dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan, institusi latihan dan rakan industri strategik bagi memastikan kandungan latihan sejajar dengan keperluan tenaga kerja semasa serta arah tuju pembangunan negara.
Inisiatif ini sebahagian daripada komitmen Khazanah untuk memacu pembangunan insan sebagai teras pembinaan negara.Melalui K-Youth, Khazanah membantu membentuk tenaga kerja berdaya saing dan berkemahiran tinggi yang menjadi tunjang kepada Ekonomi MADANI - ekonomi yang berpaksikan nilai, inklusif dan mampan.