LONDON – Seorang wanita British berusia 29 tahun berdepan keadaan luar biasa selepas tersedar daripada serangan strok, apabila dia kini bercakap dengan loghat baharu yang mirip ibunya yang berasal dari Thailand.
Cathy Warren, yang berdarah campuran British-Thai, mengalami strok ketika bercuti bersama rakan-rakan di Fethiye, Türkiye pada September tahun lalu sempena sambutan hari lahirnya yang ke-28.
“Saya tiba-tiba pening dan tidak dapat menggerakkan kaki. Rakan saya terpaksa membantu saya duduk sebelum pergi mendapatkan bantuan,” katanya.
Namun, pekerja hotel menyangka Warren mabuk dan menolaknya kembali ke bilik. Keadaannya yang semakin teruk memaksa doktor dipanggil sebelum dia dikejarkan ke hospital. Hasil imbasan kemudian mengesahkan dia mengalami strok yang menyebabkan lumpuh separuh badan sebelah kiri.
Apabila sedar, Warren terkejut apabila mendapati suara dan loghatnya berubah sepenuhnya.
“Sebelum ini saya bercakap dengan loghat British, tetapi selepas strok, suara saya berbunyi seperti ibu saya loghat Thai,” ujarnya.
Pakar neurologi, Dr Greg David Dayrit menjelaskan, Warren menghidap Sindrom Loghat Asing, keadaan saraf yang jarang berlaku apabila bahagian otak yang mengawal bahasa dan pertuturan rosak. Ia menyebabkan perubahan pada sebutan, intonasi dan rentak pertuturan seseorang.
Menurut Warren yang berasal dari Basingstoke, Hampshire, dia berasa seperti 'kehilangan sebahagian daripada identitinya' kerana loghat asalnya belum kembali walaupun selepas menjalani terapi pertuturan selama berbulan-bulan.
“Saya sudah habis terapi pertuturan, tapi loghat saya masih sama. Doktor tidak dapat menjanjikan ia akan kembali seperti dulu,” katanya kepada The Daily Mail.
Selepas sebulan dirawat di hospital di Turkiye, Warren kembali ke United Kingdom pada Oktober 2024 dan menjalani lima bulan pemulihan intensif. Kini, dia mampu berjalan tanpa bantuan, namun suaranya kekal berloghat Thai.
“Saya dulu perlukan tiga orang untuk bantu saya berjalan. Sekarang saya boleh berjalan sendiri tapi 'suara saya masih bukan suara saya',” katanya.- Agensi