SEPANG - [DIKEMAS KINI] Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) mengenakan Arahan Penolakan Masuk (NTL) terhadap 72 warga Indonesia kerana gagal memenuhi syarat kemasukan ketika tiba di Feri Terminal Pasir Gudang, Johor pada perayaan Deepavali.
Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, tindakan diambil dalam tempoh dua hari iaitu pada 19 dan 20 Oktober lalu.
Menurutnya, AKPS bertindak berdasarkan maklumat, membuat pemantauan di lokasi dan mengesahkan ketidakpatuhan sebelum mengarahkan warga asing terbabit berpatah balik iaitu prosedur sama seperti di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
"Apa yang saya nak sebutkan kita tidak hanya memberi penekanan kepada pintu masuk utama (KLIA), tapi pintu masuk lain juga.
"Saya tidak menyangkal sekiranya cubaan kemasukan itu berlaku di pintu-pintu masuk yang bukan di bawah penyeliaan AKPS waktu ini, sekiranya berlaku dan kemudian diambil oleh AKPS pada Januari 2026, saya amat berharap ia tidak lagi berlaku," katanya dalam sidang akhbar di KLIA Terminal 1 di sini pada Khamis.
Beliau berkata, AKPS juga sedang meneliti kemungkinan wujud cubaan 'counter setting' di pintu masuk lain.
Jelasnya, sekiranya ada maklumat, orang awam digesa untuk menyalurkannya segera agar tindakan dapat diambil.
Ogos lalu, media melaporkan seramai 17,658 warga asing telah dikenakan NTL oleh AKPS pada tahun ini setakat Julai.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata, sebahagian besar daripada jumlah warga asing ditahan di KLIA dan penolakan kemasukan dikenakan atas pelbagai sebab.