SEPANG - Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) menyatakan kesediaan bekerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam usaha membanteras khidmat kereta sewa haram atau 'ulat' di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini.
Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, pihaknya menyambut baik untuk membantu dalam perkara ini.
"Kalau kita terima (maklumat), dah tentulah menjadi satu tanggungjawab kita berkongsi dengan pihak JPJ.
"Sekiranya JPJ inginkan kerjasama AKPS, kita bersedia untuk membantu. Sebab kita di dalam mungkin kita boleh tahu jumlah orang nak keluar, negara mana semua," katanya dalam sidang akhbar di KLIA Terminal 1 di sini pada Khamis.
Menurut Mohd Shuhaily, di KLIA, JPJ tidak berada di dalam pentadbiran AKPS walaupun jabatan itu merupakan salah satu agensi teras dalam AKPS.
Namun, beliau menjelaskan, dalam konteks AKPS KLIA, JPJ tidak berada di dalam pentadbiran AKPS kerana lapangan terbang merupakan domain udara atau pun pintu masuk udara.
"Hanya pintu masuk darat sahaja di mana sebahagian pegawai JPJ ditempatkan dengan AKPS," ujarnya.
September lalu, media melaporkan Kementerian Pengangkutan (MOT) memberi amaran tidak akan berkompromi dengan kegiatan 'ulat teksi' di KLIA Terminal 1 dan Terminal 2 yang merosakkan imej negara.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dilaporkan berkata, JPJ menahan seorang pemandu 'ulat teksi' susulan insiden seorang pelancong asing yang ditipu dengan caj berlipat ganda di KLIA Terminal 2.
Pada 15 September lalu, video seorang pelancong asing tular di media sosial yang mendedahkan bahawa dia ditawarkan tambang RM60 oleh seorang lelaki warga tempatan ketika mencari bas ke sebuah hotel di ibu negara.
Bagaimanapun, sebaik tiba di hadapan hotel, pemandu berkenaan enggan berhenti, sebaliknya menuntut bayaran sebanyak RM836, kira-kira 14 kali ganda daripada jumlah asal.