JBPM Kelantan siap siaga hadapi risiko banjir, turut dapat bantuan helikopter

Iklan
Anggota bomba membantu menolak motosikal mangsa banjir di Tumpat pada tahun lalu. 

KOTA BHARU – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) dengan kekuatan 839 anggota yang bersedia bertugas secara berterusan selama 24 jam sekiranya keadaan memerlukan.

Pengarah JBPM Kelantan, Farhan Sufyan Borhan berkata, persediaan itu turut disokong oleh bantuan helikopter yang ditempatkan di Terengganu bagi memperkukuh operasi menyelamat di negeri ini sekiranya berlaku bencana besar.

Iklan
Iklan

“Bomba termasuk anggota bantuan ini bersiap sedia berdepan banjir yang dijangka melanda awal bulan depan. Tugasan mereka akan berterusan selama 24 jam, malah sedia dilanjutkan hingga 36 atau 48 jam jika keadaan memerlukan.

“Kelantan juga memperoleh bantuan helikopter yang ditempatkan di Terengganu,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Oktober JBPM Kelantan di Tunjong di sini pada Khamis.

Iklan

Sebahagian daripada anggota yang hadir pada Majlis Perhimpunan Bulanan Oktober JBPM Kelantan di Tunjong, Kota Bharu pada Khamis.

Beliau berkata, sebanyak 16 pasukan bomba sukarela dan komuniti turut akan membantu operasi menyelamat di kawasan berisiko tinggi banjir.

Iklan

Menurutnya, bilik gerakan JBPM Kelantan akan beroperasi 24 jam sehari sepanjang musim MTL selain memastikan semua aset dan jentera berada dalam keadaan optimum.

“Ketika ini, JBPM Kelantan memiliki 64 bot termasuk 56 unit yang berada dalam keadaan baik dan siap digunakan selain tiga jentera utama iaitu lori, bot marin dan pacuan empat roda.

“Sekiranya banjir besar berlaku, cuti anggota akan dibekukan bagi memastikan kekuatan tenaga kerja mencukupi sepanjang tempoh bencana,” jelasnya.

Farhan Sufyan berkata, Pasir Mas, Rantau Panjang dan Tumpat dikenal pasti sebagai kawasan berisiko tinggi banjir besar tahun ini, manakala Gua Musang dijangka lebih terkawal berikutan taburan hujan yang lebih rendah.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya berwaspada terhadap perubahan cuaca semasa memandangkan negeri kini berada dalam fasa peralihan Monsun Barat Daya ke Monsun Timur Laut.

“Keadaan ini menyebabkan ribut petir dan hujan lebat pada waktu petang serta malam, selain risiko pokok tumbang dan kejadian tidak dijangka lain,” katanya.

Sejak Mei lalu, JBPM Kelantan merekodkan purata antara 20 hingga 30 kes pokok tumbang setiap bulan dan jumlah itu dijangka meningkat sedikit pada Oktober seiring perubahan cuaca semasa.