[VIDEO] Wanita Bangladesh potong kemaluan kekasih didakwa

Iklan

JOHOR BAHRU – Seorang wanita warga Bangladesh yang disyaki memotong kemaluan teman lelakinya dua minggu lalu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis.

Tertuduh, Begum Masuma, 34, pada awalnya mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa dalam bahasa Malaysia di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Iklan
Iklan

Namun, mahkamah tidak menerima pengakuan bersalah itu selepas tertuduh dilihat tidak memahami sepenuhnya pertuduhan.

"Faham sikit-sikit. Ini salah ‘suami’,” demikian kata-kata tertuduh ketika ditanya hakim sama ada faham dengan pertuduhan yang dibacakan.

Iklan

Berdasarkan kertas pertuduhan, wanita itu didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah terhadap seorang lelaki, Babu Mondol, 33, dengan menggunakan sebilah pisau iaitu satu senjata yang boleh menyebabkan kematian jika digunakan sebagai senjata salah.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di kawasan setinggan belakang sebuah kilang di Gelang Patah kira-kira jam 1 pagi, 8 Oktober lalu.

Iklan

Bagi kesalahan berkenaan, tertuduh yang bekerja sebagai operator pengeluaran di sebuah kilang didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Zuhainie Zull Kafli memaklumkan kepada mahkamah bahawa kesalahan di bawah seksyen berkenaan tidak boleh dijamin dan tidak mencadangkan sebarang ikat jamin.

“Tertuduh adalah warga asing dan telah dituduh di Mahkamah Majistret atas kesalahan tidak memiliki dokumen sah untuk memasuki Malaysia.

"Kes ini juga serius kerana melibatkan kecederaan parah terhadap mangsa. Mangsa pula tinggal serumah dengannya,” katanya.

Mahkamah kemudian tidak membenarkan jaminan dan menetapkan 11 November depan untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan khidmat jurubahasa Bangladesh.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret Johor Bahru, Begum turut didakwa tidak memiliki dokumen sah untuk memasuki negara ini di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 6(3) akta sama.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di pekarangan Balai Polis Gelang Patah kira-kira jam 12.15 tengah hari pada tarikh sama.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan denda hingga RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Majistret Atifah Hazimah Wahab turut menolak pengakuan bersalah tertuduh selepas mendapati wanita itu tidak memahami pertuduhan dengan jelas, sebelum menetapkan 11 November depan bagi sebutan semula kes dengan bantuan jurubahasa Bangladesh.

Pada 9 Oktober lalu, media melaporkan seorang wanita warga Bangladesh ditahan polis selepas bertindak kejam memotong kemaluan teman lelakinya akibat cemburu apabila mengetahui lelaki itu masih mempunyai isteri di negara asal.

 

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan dilaporkan berkata, mangsa cedera di bahagian kemaluan dan tangan kiri sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk rawatan lanjut.

 

Kata Kumarasan, pihaknya kemudian menahan suspek dan merampas sebilah pisau sepanjang 29 sentimeter yang dipercayai digunakan dalam kejadian terbabit.