MELAKA – Dua anggota Unit Cegah Jenayah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas tuduhan menerima suapan berjumlah RM2,000 sebagai dorongan untuk melepaskan sepasang kekasih yang dicekup berdua-duaan di dalam sebuah kereta.
Tertuduh, Mohd Zulhelmi Zaini, 36, berpangkat koperal, dan Mohamad Arif Roslan, 26, berpangkat konstabel, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.
Berdasarkan pertuduhan pertama, Mohd Zulhelmi didakwa secara rasuah meminta suapan RM4,000 daripada pasangan berusia 22 dan 20 tahun sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan lanjut terhadap mereka.
Bagi pertuduhan kedua, Mohd Zulhelmi bersama-sama Mohamad Arif didakwa menerima suapan masing-masing berjumlah RM2,000 daripada individu sama bagi tujuan sama.
Kesalahan itu didakwa dilakukan antara jam 12 tengah malam hingga 1 pagi di Balai Polis Bukit Baru, Jalan Penghulu Abbas di sini pada 14 Jun lalu.
Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana-mana yang lebih tinggi.
Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Sharina Farhana Nor Sa’ari mencadangkan jaminan sebanyak RM15,000 dikenakan terhadap Mohd Zulhelmi dan RM10,000 terhadap Mohamad Arif.
Bagaimanapun, peguam S Amritpal Singh yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon jumlah itu dikurangkan dengan alasan Mohd Zulhelmi menanggung isteri serta tiga anak yang masih kecil, manakala Mohamad Arif menanggung kedua-dua ibu bapanya.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM10,000 setiap seorang dengan syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan sehingga kes selesai.
Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 28 November depan.
Media sebelum ini melaporkan seorang sukarelawan polis (PVR) bersama tiga anggota keselamatan direman lima hari bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima rasuah RM2,000 sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap sepasang kekasih dalam sebuah kereta.