SHAH ALAM - Setiap jalan dan jambatan yang kita rentasi, di atasnya ada nyawa. Mungkin nyawa ahli keluarga, saudara-mara, sahabat handai atau diri kita sendiri, nyawa itu tidak ternilai harganya dan tidak boleh diganti.
Atas kesedaran itu, saya sebagai Menteri Kerja Raya sentiasa mengingatkan seluruh warga Kementerian Kerja Raya (KKR) agar menggalas amanah dengan penuh tanggungjawab.
Kita tidak boleh mengabaikan atau mengambil mudah walau satu lubang kecil di atas jalan raya kerana jika dibiarkan, ia akan merebak dan mungkin menjadi punca bencana atau tragedi besar pada masa depan.
Bukan mudah apabila kita bercakap dalam konteks jalan raya di seluruh Malaysia yang mana tidak semuanya berada di bawah tanggungjawab KKR.
Ini kerana banyak juga sebenarnya di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan milik persendirian.
Namun itu bukan alasannya. KKR sentiasa berusaha memastikan semua isu berkaitan jalan raya diberi perhatian sewajarnya, merangkumi penyelenggaraan dan baik pulih yang mana ia antara inisiatif penting melalui program serta aplikasi MYJalan.
MYJalan jadi suara rakyat
Salah satu inisiatif penting ialah program dan aplikasi MYJalan yang dilancarkan pada Ogos 2023 lalu sebagai saluran aduan kerosakan jalan.
Kini, MYJalan telah berevolusi menjadi pangkalan data nasional bagi pengurusan infrastruktur jalan raya negara.
Melalui aplikasi berkenaan, rakyat dapat menyalurkan aduan secara langsung, membantu penyelarasan penyelenggaraan antara agensi dan mempercepat tindakan pembaikan dengan lebih efisien.
Sehingga September lalu, lebih 43,000 aduan telah diterima, sekali gus membuktikan kepercayaan rakyat terhadap inisiatif tersebut dan keberkesanan pendekatan digital dalam meningkatkan keselamatan, ketelusan serta akauntabiliti pengurusan jalan raya negara.
Justeru, saya berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan kerana mengiktiraf kepentingan program MYJalan ketika membentangkan Belanjawan 2026 bertemakan 'Belanjawan Rakyat' baru-baru ini.
Beliau antara lain mengumumkan, program MYJalan merupakan antara inisiatif utama yang diteruskan dengan peruntukan RM2.5 bilion untuk penyelenggaraan Jalan Persekutuan.
Program berkenaan akan terus memastikan jalan raya di seluruh negara berada dalam keadaan baik, selamat dan selesa, selain menjadi pemangkin utama kepada kesejahteraan sosial serta ekonomi rakyat.
Kesejahteraan rakyat diutamakan
Selain itu, pembentangan belanjawan pertama di bawah Rancangan Malaysia Ke–13 (RMK13) jelas mencerminkan kesungguhan Kerajaan Madani berpaksikan tiga tonggak Ekonomi Madani iaitu menaikkan siling pertumbuhan negara, menaikkan lantai taraf hidup rakyat dan memacu pembaharuan, terutamanya tatakelola baik.
Bagi tahun 2026, KKR menerima peruntukan keseluruhan sebanyak RM10.692 bilion, iaitu kenaikan 3.3 peratus berbanding RM10.349 bilion pada tahun 2025.
Daripada peruntukan tersebut, jumlah bajet mengurus KKR yang diluluskan adalah sebanyak RM1.085 bilion iaitu kenaikan sebanyak 6.1 peratus berbanding RM1.022 bilion pada tahun ini yang akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk meningkatkan keupayaan, kapasiti KKR dan kakitangannya dengan kemahiran serta teknologi terkini.
Sementara itu, bajet pembangunan tahun 2026 yang diluluskan berjumlah RM9.607 bilion berbanding RM9.327 bilion pada tahun 2025 dengan kenaikan sebanyak 3.0 peratus yang akan memberi tumpuan kepada pelaksanaan projek pembangunan baharu dan kesinambungan projek infrastruktur sedia ada di seluruh negara.
Jaminan keselamatan, sokongan pembangunan
Di bawah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), sebanyak 3,000 lampu diod pemancar cahaya (LED) baharu akan dipasang di lokasi berisiko kemalangan di lebuh raya.
Selain itu, RM260 juta turut diperuntukkan bagi pelaksanaan kerja–kerja keselamatan cerun di kawasan berisiko tinggi di seluruh negara.
Sementara itu, sebanyak RM30 juta diperuntukkan kepada 115 jurutera daerah JKR bagi memberi fokus kepada pelaksanaan kerja-kerja yang memerlukan pembaikan segera.
Kerja-kerja tersebut termasuk pembaikan kecil segera turapan atau tampalan jalan, pembaikan perabot jalan, mengecat garisan jalan yang pudar, pembaikan kecil ke atas expansion joint, pembaikan segera akibat bencana dan pembaikan lampu jalan serta lampu isyarat.
Dalam usaha memperkukuh pemerkasaan kontraktor tempatan, peruntukan untuk kontraktor kecil Bumiputera Kelas G1–G4 juga telah dinaikkan daripada RM450 juta pada 2025, kepada RM700 juta pada 2026, iaitu peningkatan sebanyak RM250 juta atau 55.6 peratus.
Langkah berkenaan akan memberi peluang lebih luas kepada kontraktor kecil untuk terlibat dalam kerja–kerja penyelenggaraan jalan, meneroka potensi selain menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi tempatan dan memperkukuh rantaian industri pembinaan negara.
Sabah, Sarawak tetap jadi keutamaan
Dari segi pembangunan wilayah, Sabah dan Sarawak kekal sebagai keutamaan di bawah Belanjawan Madani 2026.
Pelaksanaan projek strategik seperti Pan Borneo Sabah, Sabah–Sarawak Link Road (SSLR) dan Lebuhraya Trans Borneo (LTB) diteruskan bagi memperkukuh jaringan pengangkutan darat serta meningkatkan akses rakyat di kedua–dua negeri.
Projek naik taraf seperti Jalan Durin–Salim di Sibu dan pembinaan Jalan Kalabakan–Simanggaris sepanjang 28 kilometer di Sabah akan diteruskan bagi meningkatkan tahap keselamatan, memperkukuh jaringan jalan sempadan dan membuka peluang ekonomi baharu kepada komuniti setempat.
Di Semenanjung pula, pelaksanaan projek–projek berimpak tinggi juga diteruskan bagi meningkatkan kesalinghubungan wilayah dan keselamatan pengguna.
Antara projek utama termasuk Penyuraian Trafik PLUS (Juru–Sungai Dua) dan pembinaan terowong bawah tanah (underpass) Mount Erskine–Burma di Pulau Pinang dan naik taraf Lebuhraya Senai–Desaru di Johor.
Selain iu, pembinaan jalan baharu Masjid Tanah–Telok Gong di Melaka, pembinaan Jejambat Batu 9 Cheras di Selangor dan naik taraf Lebuhraya Kuantan–Segamat serta Jambatan Serengkam–Kuala Wau di Pahang.
Dalam masa yang sama, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) akan menyediakan peruntukan sebanyak RM10 juta bagi memperkukuh latihan, pensijilan dan pembangunan kemahiran kontraktor bumiputera serta belia dalam industri pembinaan.
CIDB turut memberi keutamaan kepada penerapan teknologi baharu dan amalan pembinaan hijau, selaras dengan agenda ekonomi bernilai tinggi serta kelestarian negara.
Secara keseluruhannya, Belanjawan Madani 2026 membuktikan komitmen Kerajaan Madani dalam memulihkan daya tahan fiskal negara sambil memastikan pelaburan terus disalurkan kepada pembangunan infrastruktur asas di bandar dan desa.
Sebagai Menteri Kerja Raya, saya bertekad akan terus memastikan setiap sen yang diperuntukkan dalam Belanjawan 2026 ini digunakan sebaiknya demi kesejahteraan rakyat dan masa depan negara.
Datuk Seri Alexander Nanta Linggi ialah Menteri Kerja Raya