BLACKBERRRY Limited mengumumkan bahawa Malaysia akan melaksanakan BlackBerry AtHoc dan BlackBerry SecuSUITE bagi memastikan komunikasi selamat dan melindungi keselamatan delegasi sempena Sidang Kemuncak ASEAN 2025.
Teknologi moden itu turut digunakan pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 pada Mei lalu dan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang akan berlangsung di Kuala Lumpur dari 26 hingga 28 Oktober ini.
Diselaraskan Kementerian Luar Negeri melalui Sekretariat Logistik Utama ASEAN (SILA), sidang kemuncak tersebut menghimpunkan ketua negara, menteri dan pegawai daripada negara anggota ASEAN, rakan utama dari benua Amerika, Eropah, Afrika serta Asia.
Ketua SILA, Raja Saifful Ridzuwan Raja Kamaruddin berkata, sekitar 80 peratus komunikasi antara agensi adalah selamat, manakala sebahagiannya sangat sulit dan berkait langsung dengan keselamatan ketua-ketua negara serta pegawai.
“Dengan BlackBerry, kami menemui platform komunikasi terbuka yang disulitkan, melindungi maklumat sensitif sambil mempertingkatkan penyelarasan.
“Lima minit boleh bermakna 50 mesej terlepas. BlackBerry AtHoc memudahkan cara kami berkomunikasi antara agensi, manakala SecuSUITE menyulitkan arahan suara untuk mengelak pemintasan dan kebocoran maklumat,” katanya.
Menurut Raja Saifful Ridzuwan, pihaknya akan memperluaskan penggunaan kedua-dua penyelesaian berkenaan bagi memastikan acara berjalan dengan selamat, lancar dan diselaraskan sepenuhnya untuk Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 nanti.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif BlackBerry, John Giamatteo berkata, Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 menetapkan penanda aras baharu bagi komunikasi selamat berdaulat pada skala besar.
“BlackBerry berbesar hati menyokong SILA dan kerajaan Malaysia dengan penyelesaian bertaraf ketenteraan yang melindungi rakyat.
“Pada masa sama, pendekatan tersebut menjaga perbualan sensitif dan memastikan operasi kompleks berjalan lancar secara masa nyata,” ujarnya.
Sidang Kemuncak ASEAN merupakan antara acara diplomatik paling kompleks di rantau ini, melibatkan lebih daripada 500 mesyuarat dan ribuan anggota daripada pelbagai agensi kerajaan.
Lindungi perbualan
Selepas kejayaan pelaksanaan pada Sidang Kemuncak ke-46, SILA telah memperluas penggunaan platform komunikasi selamat BlackBerry bagi melindungi operasi arahan dan kawalan, sama ada di pusat operasi sidang mahupun ketika bergerak.
Memandangkan keupayaan risikan isyarat canggih kini semakin mudah diakses oleh pihak berniat jahat, melindungi komunikasi mudah alih menjadi keutamaan yang amat kritikal.
BlackBerry AtHoc merupakan platform pengurusan acara kritikal yang menggabungkan notifikasi kecemasan selamat dengan alat tindak balas insiden untuk membolehkan penyelarasan mudah alih masa nyata merentas agensi.
BlackBerry SecuSUITE pula merupakan penyelesaian komunikasi suara dan mesej selamat bertaraf ketenteraan yang diperakui NATO, melindungi perbualan sensitif daripada pemintasan serta pengintipan yang menyasarkan komunikasi mudah alih.
Semasa Sidang Kemuncak ke-46, 100 pegawai perhubungan (LO) menggunakan BlackBerry AtHoc untuk menghantar amaran lokasi selamat dan mengurus penyelarasan.
Sidang Kemuncak ke-47 yang akan datang akan diperluas kepada 150 pegawai LO, semuanya dilengkapi dengan AtHoc dan SecuSUITE pada peranti iOS dan Android standard.
Fleksibiliti tersebut membolehkan pegawai berkomunikasi dengan delegasi dan pasukan asing secara selamat, mengurangkan keperluan penggunaan berbilang peranti sambil mengekalkan penyulitan hujung ke hujung untuk komunikasi suara serta mesej dari mana-mana lokasi.
BlackBerry AtHoc juga membolehkan arahan dan kawalan mudah alih, membantu pegawai memantau pergerakan, bertindak balas dengan pantas terhadap keadaan cuaca atau insiden keselamatan.
Teknologi dan piawaian yang digunakan setara dengan yang dilaksanakan semasa Sidang Kemuncak dan Mesyuarat Menteri G7 2018 dan 2025.
Pada ketika itu, Pejabat Pengurusan Sidang Kerajaan Kanada di bawah Global Affairs Canada menggunakan BlackBerry AtHoc bagi komunikasi selamat dan bersepadu antara pelbagai jabatan kerajaan, sekali gus menetapkan penanda aras bagi ketahanan operasi serta kerjasama antara agensi.