SHAH ALAM - Kalau tak sihat, jangan paksa diri, pesan Datuk Md Daud Che Ngah yang sudah lebih 50 tahun mengiringi jemaah haji.
Bagi Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel & Tours yang dikenali sebagai Ustaz Daud itu, syarat kesihatan ketat yang diperkenalkan kerajaan Arab Saudi bagi musim haji 1447H/2026M bukan sekadar peraturan baharu, tetapi peringatan besar tentang makna sebenar istito‘ah iaitu kemampuan untuk beribadah dengan tubuh dan jiwa yang kuat.
Beliau berkata, seseorang itu wajib menunaikan haji hanya apabila memenuhi enam syarat utama, antaranya mempunyai kemampuan kewangan, kenderaan pergi dan balik yang selamat serta sihat tubuh badan.
Beliau memberitahu, dalam hadis banyak menyebut perkara tersebut dan tidak boleh dipandang ringan.
“Hadis pun banyak sebut kena sihat tubuh badan untuk tunaikan haji kecuali jika jatuh sakit selepas tiba di Tanah Suci, itu lain ceritanya. Kalau sakit dari awal tidak boleh pergi.
“Kalau pergi dalam keadaan tidak sihat, akhirnya tidak dapat berwukuf di Arafah, ibadah hajinya tidak sah. Ada jemaah sampai ke Arafah cuma 15 minit, sedangkan wukuf itu ibadah utama yang perlu dilakukan dengan sempurna,” ujarnya kepada Sinar Harian.
Sebelum ini, Lembaga Tabung Haji dalam satu kenyataan memaklumkan, pihak Arab Saudi telah menetapkan beberapa syarat baharu kepada bakal jemaah haji sebelum layak memperoleh visa bagi musim haji akan datang.
Antara syarat utama yang ditetapkan ialah jemaah mesti bebas daripada penyakit berjangkit atau penyakit kronik yang tidak terkawal serta berupaya melaksanakan ibadah haji secara kendiri tanpa bergantung kepada orang lain.
Bakal jemaah tidak layak menunaikan haji sekiranya disahkan menghidap penyakit atau menghadapi masalah kesihatan.
Sementara itu, Md Daud berkata, berdasarkan pengalaman beliau pengalaman membawa jemaah haji selama lima dekad mendapati mereka yang sudah mempunyai penyakit kronik akan mudah jatuh sakit.
“Sudah 50 tahun saya bawa jemaah haji, berdasarkan pengalaman orang sakit biasanya mereka akan sihat selama lima hari, atau paling lama 10 hari dan kemudian mereka akan jatuh sakit.
“Apabila jemaah jatuh sakit, ia bukan sahaja menyusahkan diri sendiri, tetapi turut melibatkan pegawai Tabung Haji yang terpaksa menghantar dan menunggu pesakit di hospital. Ini juga menjejaskan fokus ibadah,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyifatkan sekatan terhadap jemaah yang tidak sihat untuk menunaikan haji adalah langkah relevan dan selaras dengan maqasid syariah, iaitu menjaga kemaslahatan dan keselamatan umat Islam.
“Kesihatan memainkan peranan besar dalam ibadah haji. Kalau guna kerusi roda pun, siapa yang akan tolak sejauh tiga kilometer semasa melontar? Akhirnya perlu upah orang lain pula,” katanya.