PETALING JAYA – Dua lelaki mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Sesyen berasingan di sini pada Rabu, atas dua pertuduhan berhubung kelengkapan komunikasi yang tidak diperakui dan menyebabkan gangguan telekomunikasi, tahun lalu.
Choong For Seng, 43, dan Ling Siew Lung, 46, selaku orang kena saman (OKS) membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Dr Syahliza Warnoh dan Dr Noor Ruzilawati Mohd Nor.
Di hadapan Syahliza, For Seng didakwa menggunakan satu set GSM Module tiada jenama, model dan nombor siri yang tidak diperakui oleh Peraturan-peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000.
Kesalahan didakwa dilakukan di tepi jalan bersebelahan sebuah kedai makan di Mutiara Damansara, di sini pada 11.55 pagi, 19 November 2024.
Pertuduhan dibuat mengikut Peraturan-Peraturan 16(1)(b) Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 dan Peraturan 16 (3) peraturan sama yang membawa hukuman denda maksimum RM300,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan pindaan kedua, dia didakwa sengaja menggunakan radas iaitu satu set GSM Module serupa sehingga menyebabkan gangguan elektromagnetik.
Perkara itu menyebabkan perkhidmatan rangkaian telekomunikasi di kawasan tersebut terganggu pada tempat, masa dan tarikh serupa.
Pertuduhan dibuat mengikut Peraturan 34(5)(c) Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Spektrum) 2000 dan boleh dihukum di bawah peraturan sama, yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM300,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Sementara di hadapan Noor Ruzilawati, Siew Lung didakwa bersubahat dengan For Seng bagi melakukan dua kesalahan sama pada lokasi, tarikh dan masa sama.
Dia didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman serupa.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Fadhli Ab Wahab dan Pegawai Pendakwa MCMC, Mohamad Farhan Kamarudin manakala dua OKS diwakili peguam, Kee Wei Lon dan Jonas Ee Gen You.
Kedua-dua hakim membenarkan For Seng dan Siew Lung diikat jamin masing-masing sebanyak RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.
Mahkamah menetapkan sebutan kes pada 4 Disember depan.