Sekretariat Sekolah Selamat kemuka 11 tuntutan memorandum sekolah selamat

Iklan
Gabungan NGO, pelajar dan orang awam berhimpun di hadapan Parlimen pada Rabu di bawah panji Sekretariat Sekolah Selamat, sebuah gabungan yang memperjuangkan keselamatan sekolah melalui advokasi dan gerakan masyarakat.

SHAH ALAM- Sekretariat Sekolah Selamat kemuka 11 tuntutan dalam memorandum Sekolah Selamat yang diserahkan kepada wakil-wakil rakyat di Parlimen pada Rabu.

Wakil Sekretariat Sekolah Selamat, Ain Husniza Saiful Nizam berkata, antara tuntutan berkenaan ialah penggubalan Akta Anti-Buli Kebangsaan yang mewajibkan pelaksanaan program pencegahan, pelaporan telus dan pendekatan pemulihan bagi menangani kes buli di semua sekolah.

Iklan
Iklan

Menurutnya, mereka turut menuntut penggubalan undang-undang khusus mengenai gangguan seksual dan memperkukuh sokongan psikososial melalui nisbah kaunselor-murid yang ideal, penempatan pekerja sosial dan pembentukan pasukan intervensi bersepadu.

“Kesemua 11 tuntutan ini jelas, rasional dan berasaskan bukti, meliputi reformasi undang-undang, mekanisme keselamatan serta perlindungan psikososial yang menyeluruh. Semua ini boleh dilaksanakan sekiranya wujud kemahuan politik yang tulen.

Iklan

“Sekiranya dalam tempoh 30 hari tiada pelan tindakan konkrit, komitmen rasmi atau pembaharuan dasar diumumkan oleh Menteri Pendidikan, kami akan menilai kegagalan itu sebagai bukti bahawa kepimpinan sedia ada tidak lagi layak memegang amanah melindungi generasi muda negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pelajar dan orang awam berhimpun di hadapan Parlimen selepas berarak dari Taman Tugu di bawah panji Sekretariat Sekolah Selamat, sebuah gabungan yang memperjuangkan keselamatan sekolah melalui advokasi dan gerakan masyarakat.

Iklan

Ain Husniza berkata, dalam keadaan itu Sekretariat Sekolah Selamat bersama rangkaian NGO, mahasiswa, ibu bapa dan komuniti pendidikan akan memobilisasikan gelombang kebangkitan rakyat yang lebih besar.

"Satu gerakan nasional untuk menuntut #UndurFadhlina serta mendesak reformasi total terhadap sistem pendidikan Malaysia.

"Kami tidak akan berdiam diri selagi pelajar terus dibunuh di sekolah, dicabul oleh pengawal, dirogol oleh rakan sekelas atau dibisukan oleh pentadbir yang lebih takut menjaga imej daripada menjaga nyawa.

"Kami menolak sepenuhnya budaya penafian dan kenyataan kosmetik yang gagal menyelamatkan walau satu pun anak bangsa daripada menjadi mangsa. Sekolah bukan medan maut, sekolah ialah tempat membina masa depan," katanya.

Menurut Ain Husniza, mereka akan terus berjuang sehingga setiap murid di Malaysia dapat ke sekolah tanpa takut, tanpa trauma dan tanpa kehilangan nyawa.

"Setiap tragedi yang berlaku sepanjang dua minggu kebelakangan ini bukan lagi sekadar kecuaian, tetapi pengkhianatan terhadap amanah rakyat.

"Nyawa anak-anak kita tidak sepatutnya menjadi harga kepada kelemahan dasar, birokrasi perlahan dan sikap menafikan realiti di peringkat kepimpinan tertinggi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)," katanya.

Tambahnya, krisis keselamatan pelajar yang sedang melanda negara bukan lagi isu disiplin mahupun salah laku terpencil tetapi kegagalan sistemik yang memerlukan reformasi menyeluruh, antara kementerian dan berasaskan undang-undang.