Isu LPS pengusaha kerang akan diselesai segera – Exco Perak

Iklan
Mohd Zolkafly (tiga dari kiri) menyempurnakan penyerahan bantuan di bawah Program Insentif/Bantuan Peralatan Penangkapan Ikan sempena Program Pemerkasaan Persatuan Nelayan dan Kelestarian Sumber Laut di Jeti LKIM Sungai Kerang, Sungai Tinggi di sini pada Rabu.

BUKIT GANTANG – Kerajaan Perak memberi jaminan untuk membantu menyelesaikan isu Lesen Pendudukan Sementara (LPS) yang membelenggu pengusaha dan penternak kerang di beberapa kawasan pesisir negeri ini.

Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, kerajaan negeri mengambil maklum aduan beberapa pengusaha yang masih belum mendapat kelulusan LPS walaupun telah lama mengusahakan ladang kerang secara aktif.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kelulusan tersebut penting bagi mengelakkan sebarang pertikaian di laut serta insiden kecurian hasil ternakan yang menjejaskan pendapatan pengusaha, khususnya di kawasan Matang dan Kerian.

“Kita telah minta pentadbir tanah daerah memperincikan semula senarai pengusaha yang benar-benar aktif serta telah mengusahakan kebun kerang agar mereka diberi keutamaan untuk memperoleh LPS atau TOL.

Iklan

“Langkah ini penting bagi memastikan mereka dapat mencari rezeki secara sah, tanpa rasa takut terhadap tindakan pihak berkuasa atau gangguan daripada pihak lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Pemerkasaan Persatuan Nelayan dan Kelestarian Sumber Laut di Jeti LKIM Sungai Kerang, Sungai Tinggi, di sini, pada Rabu.

Iklan

Turut hadir, Pengarah LKIM Perak, Ahmad Zulkifli Ismail; Timbalan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Perak, L Kumaresan; Pengerusi Persatuan Nelayan Negeri Perak (Penggerak), Mansor Yusof dan Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Sungai Tinggi, Abu Salim Karim.

Mohd Zolkafly berkata, isu tersebut turut dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Akuakultur Negeri baru-baru ini bagi mencari penyelesaian menyeluruh yang dapat membantu penternak di seluruh negeri.

“Kita yakin pihak pentadbir tanah akan meneliti perkara ini dengan cepat dan cekap bagi mempercepatkan keputusan.

“Usaha ini bukan sahaja untuk daerah Larut Matang Selama (LMS) dan Kerian, tetapi juga untuk kawasan lain yang terlibat,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa kerajaan negeri komited memperkukuh sektor akuakultur, termasuk melalui dua projek utama iaitu Projek Ternakan Kerang Penggerak dan Projek Ternakan Ketam Nipah Persatuan Nelayan Kawasan Sungai Tinggi yang menerima peruntukan sebanyak RM400,000.

Selain itu, katanya, kerajaan juga sedang meneliti rancangan memperluas kawasan kebun kerang pada tahun 2026, termasuk di Bagan Datuk, LMS dan Kerian, selepas 1,200 hektar telah diwartakan sebelum ini.

“Kita mahu pastikan sektor ini terus menyumbang kepada peningkatan hasil perikanan dan sekuriti makanan negeri.

“Ini juga sejajar dengan Dasar Agromakanan Negara 2.0 dan Pelan Perak Sejahtera 2030,” katanya.

Pada program tersebut, Mohd Zolkafly turut menyempurnakan penyerahan bantuan di bawah Program Insentif/Bantuan Peralatan Penangkapan Ikan bernilai RM450,000, termasuk enjin sangkut, tong insulasi, jaket keselamatan dan peralatan lain kepada nelayan di daerah Kerian, Matang dan Sungai Tinggi.