Kerajaan selaras kadar kompaun, hapus diskaun saman bermusim

Iklan
Anthony bercakap pada sidang media di Bangunan Parlimen pada Rabu. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Kerajaan memutuskan untuk menamatkan pemberian diskaun saman trafik berasaskan program atau kempen khas dengan memperkenalkan pendekatan baharu berprinsipkan ‘Lebih Cepat Anda Bayar, Lebih Sedikit Anda Perlu Bayar’ mulai 1 Januari tahun hadapan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, keputusan itu dibuat selepas Jemaah Menteri meneliti keperluan untuk menyeragamkan kadar dan kaedah pelaksanaan kompaun antara Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Iklan
Iklan

Menurutnya, langkah itu bertujuan memastikan pelaksanaan undang-undang jalan raya di seluruh negara dilaksanakan secara lebih konsisten, telus dan adil.

“Kaedah lama yang bergantung kepada kempen diskaun khas tidak lagi sesuai kerana mendorong orang ramai menunggu diskaun sebelum membayar saman. Ia tidak adil kepada mereka yang bertanggungjawab dan menjelaskan saman lebih awal,” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen pada Rabu.

Iklan

Hadir sama, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Anthony berkata, prinsip baharu itu diperkenalkan bagi memberi insentif kepada pengguna jalan raya yang segera menyelesaikan saman masing-masing tanpa perlu menunggu tawaran diskaun khas.

Iklan

“Berdasarkan prinsip ini, kadar kompaun adalah lebih rendah sekiranya bayaran dibuat lebih awal. Ia juga membantu membentuk budaya pemanduan yang lebih berdisiplin dan bertanggungjawab,” katanya.

Beliau menjelaskan, di bawah struktur kadar baharu itu, pengguna yang menjelaskan saman dalam tempoh 1 hingga 15 hari akan menikmati pengurangan 50 peratus, manakala bayaran dalam tempoh 16 hingga 30 hari akan menerima pengurangan 33 peratus.

Katanya, bagi bayaran yang dibuat antara 31 hingga 60 hari, kadar kompaun akan dikenakan pada tahap maksimum tanpa sebarang pengurangan.

“Sekiranya saman tidak dijelaskan selepas 60 hari, tindakan undang-undang akan diambil termasuk disenaraikan hitam oleh pihak berkuasa,” katanya.

Anthony turut menjelaskan bahawa kadar insentif tersebut tidak terpakai bagi kesalahan serius yang tidak boleh dikompaun seperti tiada insurans, mempamerkan LKM palsu dan kesalahan berkaitan lumba haram.

“Kesalahan berat seperti ini mesti dibawa ke mahkamah untuk tindakan lanjut, termasuk denda atau hukuman penjara bergantung kepada keputusan mahkamah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan satu tempoh peralihan khas akan diberikan kepada orang ramai bermula 1 November hingga 30 Disember 2025, yang mana saman yang boleh dikompaun masih boleh dibayar dengan diskaun antara 50 hingga 70 peratus.

Selepas tempoh berkenaan, katanya, semua saman tertunggak perlu dijelaskan mengikut prinsip baharu tanpa sebarang pengurangan tambahan.

Anthony turut menggalakkan orang ramai menyemak dan membayar saman masing-masing melalui portal MySIKAP, aplikasi MyJPJ, MyBayar PDRM, kiosk JPJ serta saluran pembayaran PDRM di seluruh negara.

“Saya menyeru semua pengguna jalan raya supaya melunaskan saman tertunggak sebelum 30 Disember tahun ini dan bersama-sama menyokong usaha membentuk budaya pemanduan yang lebih selamat dan bertanggungjawab," katanya.

INFO

Struktur kadar baharu kompaun

Tempoh Bayaran Pengurangan Kompaun Catatan

1–15 hari 50 peratus diskaun tertinggi

16–30 hari 33 peratus diskaun sederhana

31–60 hari tiada diskaun, kadar maksimum dikenakan

>60 hari tiada diskaun, tindakan mahkamah/senarai hitam

Kesalahan tidak layak diskaun

• Tiada insurans sah

• Lumba haram atau kesalahan berat

• Mempamerkan LKM palsu

Kesalahan di atas mesti dirujuk ke mahkamah untuk tindakan lanjut termasuk denda atau hukuman penjara.

Tempoh peralihan:

1 November – 30 Disember 2025: Orang ramai boleh membayar saman boleh dikompaun dengan diskaun antara 50 hingga 70 peratus sebelum keadah baharu dikuatkuasakan sepenuhnya.

Cara semak & bayar saman:

• Portal MySIKAP (www.jpj.gov.my)

• Aplikasi MyJPJ

• Aplikasi MyBayar PDRM

• Kaunter atau kiosk JPJ

• Saluran pembayaran PDRM di seluruh negara