SKUAD bola sepak Bawah 23 tahun (B-23) negara bertekad menjadikan pentas separuh akhir sebagai sasaran utama dalam misi memburu kebangkitan baharu di Sukan SEA 2025 di Chiang Mai, Thailand dari 3 hingga 18 Disember depan.
Pengendali Harimau Muda, Nafuzi Zain mengakui keputusan undian meletakkan Malaysia dalam Kumpulan B bersama juara Piala ASEAN 2024, Vietnam dan Laos bukanlah laluan mudah.
Namun bekas pengendali Terengganu FC dan Kedah Darul Aman FC berkenaan percaya anak buahnya mampu menyaingi dua pasukan itu dengan semangat dan disiplin tinggi.
“Saya amat teruja dengan keputusan undian kali ini. Kita tahu Vietnam pasukan kuat, malah baru menjuarai Piala ASEAN.
“Tetapi itu bukan alasan untuk kita gentar. Apa yang penting ialah komitmen dan kesungguhan pemain untuk memberi aksi terbaik di gelanggang,” katanya pada Rabu.
Mengulas lanjut, Nafuzi menjangkakan saingan sengit daripada Laos yang turut diperkuatkan oleh beberapa pemain senior yang beraksi ketika menentang skuad Harimau Malaya dalam Kelayakan Piala Asia 2027 baru-baru ini.
“Kita tidak boleh pandang rendah Laos kerana ramai pemain mereka sudah memiliki pengalaman di pentas antarabangsa.
“Itu menjadikan kumpulan ini lebih kompetitif dan menuntut kita benar-benar fokus sejak perlawanan pertama,” ujarnya.
Menurut Nafuzi, tumpuan utama kini adalah memastikan persiapan pasukan berjalan lancar, termasuk mengadakan kem latihan berpusat pada penghujung November untuk menilai tahap kecergasan dan prestasi pemain sebelum ke Chiang Mai.
“Sasaran kami jelas iaitu layak ke separuh akhir dahulu sebelum melangkah ke pentas final. Apa yang kami harapkan ialah semua pemain bebas kecederaan dan dapat memberikan komitmen sepenuhnya kepada pasukan negara,” katanya.