KUALA SELANGOR – Kerajaan memberi jaminan bahawa kos pembinaan Pusat Subfertiliti Negara di Seksyen 17, Shah Alam kekal pada RM171 juta tanpa sebarang peningkatan walaupun berlaku kenaikan harga bahan binaan.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, tiada kenaikan kos pembinaan dan pelaksanaannya berjalan lancar.
“Kos pembinaan pusat ini kekal seperti diluluskan dan tidak terjejas meskipun terdapat kenaikan harga bahan binaan di pasaran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Executive Talk di Hospital Al-Sultan Abdullah, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam di sini pada Rabu.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) sebelum ini melaporkan indeks harga seunit simen di pasaran meningkat antara 0.1 hingga 1.1 peratus pada Ogos lalu berbanding bulan sebelumnya.
Noraini memberitahu, projek pembinaan pusat itu kini berada pada peringkat pelaksanaan dan dijangka siap serta mula beroperasi menjelang tahun 2029.
“Kita di bawah kementerian memang ada satu hospital (pusat subfertiliti) khusus mengenai kesuburan di bawah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN),” katanya.
Menurut Noraini, pusat itu merupakan antara langkah strategik kerajaan dalam menangani isu kadar kesuburan yang semakin menurun dalam kalangan rakyat Malaysia, selain menyediakan kemudahan rawatan lebih komprehensif untuk pasangan yang menghadapi masalah mendapatkan zuriat.
Beliau menambah, selain pembangunan pusat kesuburan tersebut, LPPKN turut menyediakan pelbagai subsidi dan kemudahan bagi pasangan yang ingin mendapatkan rawatan, termasuk program penilaian kesuburan serta bantuan untuk rawatan seperti kaedah persenyawaan in-vitro (IVF).
“Program seperti ini bukan sahaja membantu pasangan yang berdepan cabaran mendapatkan anak, tetapi juga menyokong usaha kerajaan memperkukuh institusi keluarga dan kesejahteraan masyarakat,” tambahnya.