Rogol, sumbang mahram kekal 70 kes di Terengganu, mangsa termuda 6 tahun

Iklan
Mohd Khairi

KUALA NERUS – Sebanyak 70 kes rogol dilaporkan di Terengganu bagi tempoh Januari hingga September tahun ini, menjadikan jumlahnya kekal sama berbanding tempoh sama tahun lalu, kata Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin.

Menurutnya, daripada jumlah tersebut, 60 kes melibatkan rogol manakala 10 kes lagi berkaitan sumbang mahram.

Iklan
Iklan

“Antara kes rogol yang direkodkan tahun ini melibatkan mangsa paling muda, iaitu kanak-kanak berusia enam tahun dengan sepupu berusia 14 tahun.

“Selain itu, terdapat juga satu lagi kes melibatkan mangsa berusia enam tahun dengan rakan abangnya yang berumur 15 tahun.

Iklan

“Bagi tempoh sama tahun 2024, polis turut merekodkan 70 kes iaitu 64 kes rogol dan enam kes sumbang mahram,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Keselamatan Jalan Raya Pusat Pengajian Tinggi Negeri Terengganu 2025 di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di sini pada Rabu.

Beliau berkata, kes rogol bawah umur membabitkan mangsa berusia bawah 18 tahun dilihat masih membimbangkan.

Iklan

“Tahun lalu, sebanyak 58 kes direkodkan melibatkan mangsa bawah umur, iaitu 54 kes rogol dan empat kes sumbang mahram.

“Tahun ini, jenayah sama merekodkan 55 kes, dengan 50 kes rogol dan lima kes sumbang mahram.

“Keadaan ini menunjukkan jenayah seksual terhadap remaja dan kanak-kanak masih menjadi isu berulang, bukan sahaja di Terengganu, tetapi di seluruh negeri,” katanya.

Mohd Khairi berkata, siasatan mendapati terdapat beberapa kes berlaku atas dasar suka sama suka, namun undang-undang tetap menganggap ia satu kesalahan jenayah kerana melibatkan individu bawah umur.

“Ada kes membabitkan remaja berusia 16 tahun ke bawah yang masih bersekolah dan ada juga yang tidak bersekolah.

“Namun, dalam undang-undang, hubungan seksual dengan individu bawah umur tetap dikategorikan sebagai jenayah rogol,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pengaruh media sosial dikenal pasti antara punca utama remaja mudah terjerumus menjadi mangsa atau pelaku jenayah seksual.

Katanya, Polis Terengganu memandang serius trend peningkatan kes rogol membabitkan mangsa bawah umur dan akan terus mempergiat tindakan penguatkuasaan serta siasatan menyeluruh.

“Banyak kes bermula daripada perkenalan di media sosial. Ada yang baru berkenalan seminggu atau dua sudah berani berjumpa secara fizikal, sebelum akhirnya menjadi mangsa jenayah seksual.

“Dalam hal ini, ibu bapa perlu memainkan peranan penting untuk memantau dan membimbing anak-anak agar tidak menjadi mangsa atau pelaku jenayah,” ujarnya.