PETALING JAYA - Mahkamah Majistret di sini pada Rabu membenarkan pelajar Tingkatan Satu (kelas peralihan) yang dituduh membunuh seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun, menjalani pemeriksaan mental di Hospital Bahagia Ulu Kinta di Tanjung Rambutan, Perak.
Majistret, Amira Sariaty Zainal memutuskan demikian selepas peguam, Kitson Foong selaku 'amicus curiae' iaitu sahabat mahkamah memohon supaya remaja berusia 14 tahun itu dinilai oleh pakar perubatan.
Ketika ditemui di luar mahkamah, Kitson yang membantu peguam tertuduh tersebut berkata, permohonan dibuat mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.
Seksyen itu ialah berkaitan prosedur bagi tertuduh yang disyaki tidak sempurna akal, yang membolehkan mahkamah menjalankan siasatan atau perbicaraan berdasarkan kepada ketidaksempurnaan akal tertuduh.
Kitson berkata, permohonan dibuat kerana mahu memastikan dia menerima rawatan selain memastikan tertuduh tidak berisiko untuk mencederakan diri sendiri.
"Pemeriksaan psikiatri perlu bagi memastikan sama ada dia mampu membuat pengakuan dan memahami pertuduhan yang dihadapi.
"Paling penting ialah keadaan fikirannya ketika melakukan kesalahan itu," kata peguam selepas prosiding.
Dalam pada itu, beliau berkata, ketika didakwa membunuh, remaja berkenaan kelihatan tenang namun banyak mendiamkan diri.
Memandangkan kes ini melibatkan remaja bawah umur, maka beliau berkata, ibu bapa tertuduh menemaninya ketika berada di luar kandang tertuduh.
Mengikut pertuduhan, tertuduh itu didakwa membunuh seorang pelajar Tingkatan Tiga (kelas peralihan) di bilik tandas nombor dua sebuah sekolah menengah di Bandar Utama di sini antara jam 9.20 hingga 9.35 pagi 14 Oktober lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman gantung atau penjara seumur hidup atau tempoh tertentu, jika sabit kesalahan.
Tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Usaha media untuk mengambil gambar tertuduh tidak berhasil memandangkan pelajar bawah umur itu dibawa ke mahkamah menerusi laluan lain.
Dalam kejadian berkenaan, mangsa ditemukan meninggal dunia di tandas sekolah itu, selepas disyaki ditikam berulang kali.