Pasaran kurier Malaysia dijangka cecah nilai RM6.9 bilion tahun ini

Iklan
Fahmi bersama Junjie (kanan) dan Lee Sun menunjukkan plak yang ditandatangani selepas merasmikan Pusat Pengumpulan dan Pengasingan SPX Express Bukit Raja Selatan pada Rabu. FOTO: SINAR HARIAN/ROSLI TALIB

SHAH ALAM – Pasaran kurier Malaysia dijangka mencecah RM6.9 bilion tahun ini susulan peningkatan penggunaan perkhidmatan kurier untuk menghantar dan menerima barangan yang dipesan menerusi platform dalam talian.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkembangan itu menunjukkan industri kurier terus menjadi nadi utama dalam pertumbuhan ekonomi digital negara.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, data tahun 2024 merekodkan lebih 900 juta bungkusan dihantar setahun, meningkat ketara berbanding 52 juta pada 2015.

“Pertumbuhan ini membuktikan keyakinan rakyat terhadap platform digital dan kecekapan sistem penghantaran tempatan,” katanya ketika berucap merasmikan Pusat Pengumpulan dan Pengasingan SPX Express Bukit Raja Selatan di sini pada Rabu.

Iklan

Turut hadir, Ketua SPX Express Malaysia, Cheah Lee Sun dan Naib Presiden Sea Limited, Zhou Junjie.

Fahmi berkata, peningkatan berkenaan turut dipacu oleh peluasan platform e-dagang, peningkatan akses internet serta pelaksanaan dasar kerajaan berasaskan teknologi dan automasi.

Iklan

Fahmi bersama Junjie (kanan) dan Lee Sun menekan butang sebagai gimik perasmian Pusat Pengumpulan dan Pengasingan SPX Express Bukit Raja Selatan pada Rabu. FOTO: SINAR HARIAN/ROSLI TALIB

Beliau menjelaskan, industri kurier kini menawarkan lebih 150,000 peluang pekerjaan dengan 80 peratus penghantar bungkusan terdiri daripada golongan B40.

“Pembukaan Bukit Raja Selatan Sorting Centre sahaja menjana lebih 1,000 pekerjaan baharu dalam bidang kejuruteraan, digital dan kecerdasan buatan (AI),” katanya.

Fahmi turut memaklumkan, kadar penghantaran bungkusan per kapita negara ialah 26.1 pada 2023, dengan sasaran meningkat kepada 30 bungkusan bagi setiap rakyat tahun ini.

“Dengan pusat baharu ini, SPX Express mampu memproses lebih dua juta bungkusan tambahan setiap hari, melengkapkan fasiliti sedia ada di Pulau Indah,” ujarnya.

Beliau berkata, kerajaan melaksanakan tiga inisiatif utama bagi memperkukuh sektor itu iaitu Pelan Accelerator Kurier Negara (PAKEJ), Garis Panduan Harga Rujukan Perkhidmatan Kurier dan Dasar Transformasi Digital Malaysia (DTDM).

Katanya, PAKEJ meningkatkan mutu perkhidmatan dan liputan penghantaran manakala garis panduan harga rujukan menjaga kebajikan pekerja serta kepentingan pengguna.

Selain itu, melalui DTDM, kerajaan memperkukuh penggunaan teknologi dan automasi bagi memodenkan operasi logistik.

“Dengan sokongan semua pihak, saya yakin industri kurier akan terus memacu ekonomi digital negara dan memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.