PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa keputusan kerajaan Persekutuan menaikkan pulangan hasil kepada Sabah bukan dibuat atas dasar politik, sebaliknya berdasarkan keperluan sebenar rakyat dan negeri berkenaan yang masih berdepan kekurangan kemudahan asas.
Beliau berkata, langkah itu dibuat bagi memastikan rakyat Sabah mendapat manfaat pembangunan yang seimbang dengan negeri lain di Semenanjung, sejajar dengan semangat Malaysia Madani yang menekankan keadilan sosial dan integriti dalam pentadbiran.
Menurut Anwar, sejak beberapa tahun lalu, kerajaan telah menambah peruntukan khas kepada Sabah secara berperingkat daripada sekitar RM126 juta sebelum ini kepada RM300 juta pada tahun 2023 dan akan dinaikkan lagi kepada RM600 juta mulai tahun 2025.
“Pulangan hasil kepada Sabah bukan soal politik atau ehsan. Ia soal keperluan dan tanggungjawab kerajaan memastikan keadilan kepada semua negeri,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Amanat Integriti Perdana Menteri di sini pada Rabu.
Beliau menjelaskan, peningkatan itu mengambil kira kemampuan kewangan kerajaan Pusat serta keperluan untuk menyiapkan beberapa projek pembangunan penting di Sabah yang masih tertangguh, terutama bekalan air dan elektrik di kawasan luar bandar.
“Masih ada projek bekalan air yang belum siap dan infrastruktur elektrik yang memerlukan dana tambahan. Kerajaan tidak boleh menutup mata terhadap keperluan rakyat,” tegasnya.
Anwar berkata, meskipun Sabah mempunyai sumber hasil sendiri, kemampuan negeri itu untuk menampung kos pembangunan besar masih terbatas, menyebabkan Kerajaan Persekutuan menanggung sebahagian besar pembiayaan.
“Perbelanjaan untuk Sabah tahun ini dan tahun depan dianggarkan sekitar RM17 bilion, sedangkan hasil negeri hanya kira-kira RM10 bilion,” katanya.
Beliau turut menolak dakwaan bahawa kerajaan memberi layanan berbeza kepada negeri tertentu atas sebab politik, sebaliknya menegaskan semua keputusan dibuat berasaskan data dan keperluan sebenar setiap wilayah.
Menurutnya, negeri lain seperti Kelantan, Kedah, Perlis dan Terengganu turut menerima peruntukan tambahan kerana tahap kemiskinan dan jurang pembangunan yang masih besar berbanding negeri maju di Semenanjung.
Anwar menjelaskan bahawa pendekatan ini mencerminkan amalan tadbir urus berintegriti, iaitu membuat keputusan berasaskan nilai dan tanggungjawab moral, bukan pengaruh politik atau kepartian.
Beliau turut mengulangi komitmen kerajaan untuk meneruskan rundingan dengan Kerajaan Negeri Sabah berhubung tuntutan 40 peratus hasil negeri seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Kita berunding dalam semangat Persekutuan yang jujur dan terbuka. Matlamat kita adalah penyelesaian yang adil, pragmatik dan tidak menjejaskan keseimbangan kewangan negara,” katanya.
Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada Jumaat minggu lalu memutuskan bahawa kerajaan Persekutuan bertindak secara tidak sah dan melampaui kuasa Perlembagaan apabila gagal menunaikan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil Persekutuan selama hampir lima dekad.
Keputusan yang disampaikan oleh Hakim Datuk Celestina Stuel Galid menyifatkan pemberian khas yang dibuat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah sebagai “tidak sah, ultra vires dan tidak rasional”, serta melanggar Perlembagaan Persekutuan.
Dalam penghakiman itu, mahkamah mendapati Perintah Semakan Kedua dan Ketiga yang dikeluarkan oleh kedua-dua kerajaan adalah tidak sah dan seterusnya membenarkan permohonan sepenuhnya oleh Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS).
Mahkamah turut mengeluarkan perintah mandamus yang mengarahkan kerajaan Persekutuan mengadakan semakan semula hasil bersama Kerajaan Negeri Sabah di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan bagi menegakkan semula hak 40 peratus hasil Sabah bagi setiap tahun kewangan dari 1974 hingga 2021.
Perintah itu menetapkan supaya semakan dibuat dalam tempoh 90 hari, manakala persetujuan bersama antara kedua-dua kerajaan perlu dicapai dalam tempoh 180 hari dari tarikh perintah dikeluarkan.