MELAKA – Perselisihan faham hingga tercetus pergaduhan antara seorang peniaga dan pengawal keselamatan di Masjid Selat Melaka di sini pada Selasa berpunca daripada isu pemakaian tudung oleh isteri individu terbabit.
Kejadian kira-kira jam 3.20 petang itu tular di media sosial selepas rakaman pergaduhan mereka di pekarangan masjid dimuat naik dan dikongsi orang ramai.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, lelaki berusia 47 tahun dari Kuala Lumpur datang ke masjid tersebut bersama isterinya untuk menunaikan solat Zohor sebelum berlaku pertengkaran dengan pengawal keselamatan yang didakwa tidak membenarkan mereka memasuki kawasan masjid.
Menurutnya, laporan polis yang dibuat oleh pengadu memaklumkan bahawa pengawal keselamatan berkenaan menegur pasangan itu kerana wanita berkenaan tidak memakai tudung, namun pengadu mendakwa isterinya telah menutup kepala menggunakan sweater.
Katanya, pertengkaran itu bertukar tegang apabila kedua-dua pihak saling meninggikan suara sebelum berlaku insiden tolak-menolak dan tumbuk-menumbuk di kawasan masjid, menyebabkan pengadu mengalami kesakitan di bahagian bahu.
"Hasil siasatan mendapati insiden berkenaan berpunca daripada salah faham antara kedua-dua pihak.
"Difahamkan, pengadu telah tiga kali berkunjung ke masjid berkenaan dan setiap kali kehadirannya, dia mendakwa ditegur serta dimarahi oleh pengawal keselamatan yang sama," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Rabu.
Jelasnya, dalam kunjungan kali ketiga itu, teguran berkenaan mencetuskan pertengkaran sebelum berlaku insiden tersebut sehingga tular di media sosial.
"Bagaimanapun, pengadu kemudiannya menarik semula laporan dan bersetuju menyelesaikan perkara itu secara baik. Kes diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA)," katanya lagi.