KOTA BHARU – Polis Kelantan mendedahkan kebanyakan kes rogol yang berlaku di negeri ini melibatkan hubungan suka sama suka disebabkan pengaruh bahan lucah.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, hasil pemeriksaan terhadap telefon bimbit remaja yang terlibat mendapati terdapat pelbagai video dan kandungan lucah yang menjadi punca kepada perbuatan tersebut.
“Walaupun ia berlaku atas dasar suka sama suka tetapi apabila melibatkan perempuan bawah umur 16 tahun, ia tetap dikategorikan sebagai kes rogol mengikut undang-undang.
“Ia dikesan selepas ibu bapa, guru atau doktor membuat laporan kepada pihak polis,” katanya semasa sidang akhbar pada Rabu.
Sebelum itu, beliau merasmikan Program Citra Remaja Unggul di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ismail Petra di sini.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan, Siti Norina Muhamad, dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr. Zaini Hussin.
Menurut beliau, berdasarkan statistik di Kontinjen Kelantan, sebanyak 349 kes jenayah seksual dicatatkan bagi tempoh Januari hingga September tahun ini, berbanding 257 kes dalam tempoh sama tahun lalu menunjukkan peningkatan 35.8 peratus atau 92 kes.
Mohd Yusoff memberitahu, peningkatan itu menunjukkan keperluan semua pihak memainkan peranan lebih serius dalam membendung gejala sosial melampau yang semakin membimbangkan.
“Antara cabaran paling berat yang kita hadapi hari ini bukan hanya soal ekonomi, tetapi soal akhlak dan maruah bangsa.
“Gejala rogol dan sumbang mahram kini muncul sebagai musuh sosial berbahaya yang boleh menggugat keharmonian keluarga serta menghancurkan masa depan generasi muda,” katanya.
Tambah beliau, lebih membimbangkan apabila kes jenayah seksual kini bukan sahaja berlaku di kawasan bandar, tetapi turut menular ke kampung dan daerah kecil di negeri ini.
Jelasnya, ia bukan sekadar angka di atas kertas, tetapi realiti hitam yang meragut maruah, mencederakan jiwa mangsa dan mengancam institusi keluarga yang menjadi asas masyarakat bertamadun.