IPOH - Pengeluaran Kopi Perak yang ditanam seluas hampir 30 hektar di lima daerah kini mencapai 235 metrik tan sehingga tahun 2025.
Pengarah Jabatan Pertanian Perak, Norsiyenti Othman berkata, tanaman kopi di negeri itu membabitkan 35 orang petani dengan varieti Liberica sebagai varieti utama yang diusahakan.
Menurutnya, kerajaan negeri melalui Jabatan Pertanian menyalurkan sebanyak RM1.05 juta bagi program pembangunan tanaman kopi sejak tahun 2019 hingga 2025 dalam usaha memperkukuh rantaian pengeluaran kopi dari peringkat penanaman hingga ke pemasaran.
"Sehingga kini, keluasan aktif penanaman kopi Liberica adalah 29.41 hektar dengan pengeluaran sekitar lapan metrik tan sehektar setahun.
"Jumlah keseluruhan pengeluaran bagi kawasan ini mencapai 235 metrik tan dengan nilai pasaran dianggarkan RM1.76 juta setahun," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Kopi Tahun 2025 di sebuah hotel di sini pada Selasa.
Norsiyenti berkata, kerajaan negeri menyokong penuh pelaksanaan program pembangunan industri kopi di Perak yang dilihat berpotensi besar menjadi antara sektor tanaman bernilai tinggi selepas kejayaan sektor bawang sebelum ini.
Katanya, program berkenaan akan diteruskan dalam Rancangan Pembangunan Perak Ke-13 (2026-2030) dengan sasaran memperluas kawasan penanaman serta meningkatkan pengeluaran selain melahirkan lebih ramai usahawan, pemborong dan pemanggang kopi tempatan.
Menurutnya, walaupun permintaan kopi semakin meningkat masih terdapat kekosongan dalam rantaian pengeluaran khususnya di peringkat pertengahan antara ladang dan pemprosesan biji kopi.
"Kebanyakan petani menanam kopi tetapi tiada pihak yang datang membeli atau memetik buah kopi.
"Masalah tenaga kerja dan ketiadaan pihak yang berperanan sebagai pengutip, pengupas serta pengering menyebabkan biji kopi tempatan tidak sampai kepada pemborong atau pemanggang,” katanya.
Beliau menjelaskan, Jabatan Pertanian kini sedang membangunkan ekosistem rantaian lengkap dengan mewujudkan lebih ramai penyedia perkhidmatan yang berperanan di peringkat pertengahan untuk membantu petani.
"Tahun lalu kita telah mewujudkan satu pusat pemprosesan kopi di Tapah yang boleh digunakan mana-mana usahawan untuk memproses biji kopi menjadi green bean.
"Untuk lima tahun akan datang, kita akan menambah bantuan kepada usahawan yang mahu terlibat dalam aktiviti memetik, mengupas dan memproses kopi supaya keseluruhan rantaian industri ini dapat berjalan dengan lebih lancar," katanya.
Tambah beliau, usaha tersebut juga mampu membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan menjana pendapatan baharu kepada penduduk luar bandar.
“Kita mahu apabila petani menanam, ada pihak yang membeli dan memproses untuk dijual kepada brewer.
"Dengan cara ini, kita boleh kurangkan kebergantungan terhadap biji kopi import,” ujarnya.
Dalam masa sama, katanya, jenama Kopi Perak kini semakin dikenali dan telah dijemput ke beberapa negeri seperti Selangor, Putrajaya dan Terengganu bagi mempromosikan produk kopi tempatan itu.